KAMI PENJAGA PUSARA

Masa Membaca:2 Minit, 36 Saat

SUNGAI RAMBAI 28 September – Potongan ayat al-Quran daripada surah Ali Imran bermaksud ‘tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati’ bukan sahaja meninggalkan perasaan insaf yang mendalam, sebaliknya mendorong Zubir Mohd Nor untuk memikul amanah menjaga tanah wakaf kini menjadi pusara bagi umat Islam di Kampung Sebatu.

Zubir yang juga, Pengerusi Masjid Al-Solihin, Kampung Sebatu berkata, tanah perkuburan itu diuruskan bersama 17 lagi ahli jawatankuasa bagi memastikan urusan setiap kali menerima jenazah berjalan lancar.

Katanya, kawasan perkuburan yang juga tanah wakaf itu terbahagi kepada tiga fasa iaitu yang pertama berusia ratusan tahun terletak di Bukit Kecil, sementara itu fasa kedua sedang digunakan, manakala fasa ketiga dikhaskan untuk generasi akan datang dan kedua-duanya terletak berhadapan Masjid Al-Solihin.

Dia meluahkan rasa syukur kerana pengurusan tanah perkuburan yang sistematik menarik perhatian pihak berkuasa agama Islam Negeri Melaka apabila terpilih sebagai penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul bagi kategori Pengurusan Dan Pemulihan Tanah Perkuburan Islam Terbaik, baru-baru ini.

6316681322638196768
PENGERUSI Masjid Al-Solihin, Kampung Sebatu, Zubir Mohd Nor (tengah) bersama Timbalan Pengerusi, Mohd Ali Adam dan Setiausaha, Ramli Ali dengan Anugerah Khas Maulidur Rasul bagi kategori Pengurusan dan Pemuliharaan Tanah Perkuburan Islam Terbaik yang diterimanya baru-baru ini. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Menurut Zubir, Islam mengajar pengikutnya supaya memuliakan jenazah dan kubur, berikutan itu setiap tanah perkuburan diselia dengan sebaik mungkin tanpa mengira ia baharu atau sudah lama.

“Kemudahan di tanah perkuburan fasa dua ini atau Tanah Wakaf Kampung Sebatu semuanya lengkap, termasuk ada ‘mini excavators’ (jengkaut mini) juga hasil wakaf anak kariah, sementara itu bagi keselesaan waris si mati kami juga sediakan laluan pejalan kaki. Laluan ini juga memudahkan urusan mengusung jenazah untuk dikebumikan, selain mengelak daripada berlaku kerosakan pada batu nisan atau sebagainya.

“Pada waktu malam, sekitar tanah perkuburan ini diterangi cahaya lampu solar, setakat ini sudah ada enam dan kami sedang dalam perancangan untuk tambah lagi. Insya-Allah, dengan adanya kelengkapan ini urusan pengebumian jenazah pada waktu malam akan lebih lancar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Jelasnya, apa yang dibanggakan adalah usaha pihaknya memuliakan tanah perkuburan itu turut mendapat sokongan daripada anak kariah yang tidak pernah lokek menghulurkan sumbangan.

“Selain mendapat kerjasama yang baik dalam kalangan kariah, kita juga bersyukur apabila ramai yang sudi menderma dan hulurkan bantuan.

“Keteraturan sistem pengurusan tanah perkuburan ini adalah hasil sokongan semua pihak, bukan hanya daripada segi wang ringgit tetapi tenaga serta idea,” katanya.

6316681322638196792
SISTEM pengurusan tanah perkuburan yang teratur. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Tambahnya lagi, antara yang menyumbang tenaga adalah sekumpulan penduduk berhampiran yang secara sukarela menghabiskan masa untuk memotong rumput, menebas semak dan meracun bagi memastikan kawasan itu dalam keadaan kemas serta sedap mata memandang.

“Antara sukarelawan yang datang adalah pasangan suami isteri, setiap pagi mereka akan datang untuk jaga dan ‘trim’ pokok bunga (pokok hiasan) sekitar tanah perkuburan ini.

“Selain itu, kami kini sedang membangunkan kawasan tanah perkuburan fasa tiga yang terletak di bahagian belakang. Insya-Allah dengan keluasan tanah yang ada ini, dijangka ia mampu bertahan hingga tahun 2025,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

173
Kongsi :
Previous post SEMUA KAUNTER JPN MELAKA BUKA PADA WAKTU REHAT BERMULA 1 OKTOBER
Next post PEMANGKIN INISIATIF HIJAU MELAKA
Ubah saiz-+=