PELUANG MILIKI RUMAH IMPIAN DI MAPEX MELAKA EDISI KEDUA 3-6 OKTOBER INI

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KESIDANG 27 September – Ingin mencari kediaman impian pada harga istimewa? Jom beramai-ramai ke Ekspo Perumahan dan Hartanah Malaysia (MAPEX) Melaka edisi kedua 2024 pada 3 hingga 6 Oktober ini.

Ekspo anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Melaka itu berlangsung selama empat hari di Mahkota Parade Melaka dengan menawarkan 3,890 unit hartanah pelbagai jenis serendah RM91,000 hingga RM2.09 juta.

Pengerusi Penganjur MAPEX Melaka 2024 Datuk Tay Chor Han berkata, ekspo berkenaan disertai Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) bersama 20 pemaju perumahan membabitkan 50 projek hartanah dengan nilai keseluruhan RM1.83 bilion.

Katanya, sebanyak 2,339 unit hartanah ditawarkan di daerah Melaka Tengah, diikuti 1,415 unit di daerah Jasin, 198 unit di daerah Alor Gajah dan 28 unit di Port Dickson, Negeri Sembilan pada ekspo berkenaan.

“Antara hartanah yang paling banyak ditawarkan adalah rumah teres dua tingkat iaitu sebanyak 1,613 unit, diikuti kondominium, apartment, service apartment dan pangsapuri sebanyak 1,424 unit serta lain-lain hartanah seperti kluster, townhouse, kedai, pejabat kedai dan industri sebanyak 456 unit.

“Selain itu, sebanyak 252 unit rumah teres setingkat, rumah semi-D (146 unit) dan 89 unit banglo turut ditawarkan.

“Malah, menerusi ekspo ini juga, pembeli rumah pertama layak mendapat pengecualian duti setem dengan penjimatan sehingga RM11,250 bagi rumah berharga bawah RM500,000,” katanya pada sidang media MAPEX Melaka di Pejabat REHDA, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi REHDA Melaka Datuk Ngoh Chun How dan kepimpinan tertinggi REHDA Melaka.

Menurut Chor Han, ekspo berkenaan diadakan setiap tahun bagi menyahut saranan Kerajaan Negeri Melaka yang menggalakkan rakyat memiliki kediaman sendiri selain membantu bakal pembeli mendapatkan rumah idaman.

Tambahnya, selain jualan dan khidmat nasihat berkaitan hartanah, ekspo itu juga berkonsepkan mesra keluarga apabila bakal diwarnai dengan persembahan menarik seperti muzikal, karikatur, pertunjukan badut dan lain-lain lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

86
Kongsi :
Previous post BUKAN CURI BALAK, TAPI JAGA KESELAMATAN PENGGUNA
Next post WARGA EMAS RUGI LEBIH RM200,000 DITIPU TAWARAN KERJA DALAM TALIAN
Ubah saiz-+=