HOTEL MITC TAWAR POLISI PENGINAPAN 24 JAM
AYER KEROH 26 September – Hotel MITC di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) menawarkan penginapan fleksibel selama 24 jam kepada semua tetamunya sejak Januari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MCorp Hotel Sdn. Bhd., Sazali Sabri berkata, polisi itu telah diperkenalkan pihaknya menerusi pakej ’24 Hours Weekday Stay’ yang ditawarkan pada hari biasa kepada tetamu yang menginap di hotel itu.
Jelasnya, pakej sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) itu diperkenalkan bagi memberi lebih kepuasan kepada pelanggan menginap dengan boleh mendaftar masuk seawal jam 10 pagi berbanding tempat lain yang menetapkan pada jam 3 petang.
“Polisi ini telah lama diperkenalkan sejak Januari tahun ini kerana tawaran ini diberikan kepada pelancong yang memilih Melaka sebagai destinasi percutian.
“Mereka cuma hanya perlu berkomunikasi dengan pihak hotel berhubung permintaan ini bagi membolehkan mereka mendaftar awal.
“Malah, daripada tawaran ini mereka boleh menginap lebih daripada 24 jam di Hotel MITC kerana jika ada mereka daftar masuk pada jam 10 pagi mereka tetap boleh daftar keluar pada jam 12 tengah hari pada keesokannya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sabri bagaimanapun berkata, tawaran itu bergantung kepada ketersediaan bilik yang ada di hotel itu dan polisi itu tidak terpakai jika tempahan penuh dan pada hujung minggu.
“Di hotel ini mempunyai 189 bilik dan prosedur operasi standard (SOP) untuk seorang pekerja memerlukan kira-kira 40 minit untuk menyiapkan satu bilik dan secara purata pekerja perlu mengemas sebanyak 15 bilik dalam tempoh lapan jam bekerja dalam sehari.
“Kita perlu mengikut polisi dan SOP ini untuk memastikan keselesaan tetamu yang menginap namun jika ada tetamu yang datang terpaksa menunggu bilik yang disiapkan kita ada pelbagai cara supaya mereka mendapat perkhidmatan terbaik.
“Sebenarnya pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh setiap hotel untuk memastikan keselesaan pelanggan mereka, malah situasi menang-menang akan diambil dan ini bergantung kepada polisi hotel yang berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai isu tular berhubung daftar masuk dan keluar di media sosial, beliau berkata itu adalah perkara biasa yang dibangkitkan kerana polisi daftar masuk telah lama dilaksanakan setiap hotel sejak dahulu lagi.
“Setiap hotel perlu memperbaiki jika ada sebarang isu yang timbul dan jikalau ada yang menetapkan jam 4 petang untuk daftar masuk dan 11 pagi waktu daftar keluar mereka perlu ada satu ketetapan khas untuk pelanggan mereka.
“Melaka sudah tawarkan pelbagai tawaran buat pelancong yang datang jadi amalan boikot-memboikot hotel dan memilih untuk melancong di negara jiran adalah satu perkara yang tidak baik kerana industri ini juga akan membawa limpahan kepada rakyat jika sektor pelancongan di Malaysia membangun,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.