Sorting by

×

CADANG JETI ANJUNG BATU ‘PINTU MASUK’ KE TAMAN LAUT MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

TELOK MAS 26 September – Jeti Anjung Batu dicadangkan menjadi pusat pembelian tiket bagi pengunjung dan pelancong yang ingin ke Taman Laut Melaka.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia bagi memudahkan urusan pengunjung untuk membeli tiket ke kawasan berkenaan.

“Sejak Januari sehingga Ogos 2024 kita mendapati jumlah pengunjung yang hadir ke taman laut dalam Negeri Melaka adalah seramai 2,911 orang.

“Justeru kita akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perikanan Melaka untuk memusatkan semua jeti ke taman laut ini di satu tempat sahaja.

“Kita cadangkan di Jeti Anjung Batu, tetapi jeti ini milik persendirian, sebab itu kita perlukan perbincangan bersama pemiliknya dan kalau (pemilik) setuju, kita boleh bangunkan jeti berpusat di Anjung Batu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Melabuh Tukun Tiruan (Konservasi) di Perairan Pulau Dodol, Taman Laut Melaka di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Perikanan Melaka, Saufi Affandi Talib.

Dr. Muhamad Akmal berkata, keputusan bagi perbincangan itu akan diumumkan tidak lama lagi setelah mendapat kata putus daripada semua pihak.

“Saya rasa dalam tempoh tidak lama lagi kita akan umumkan setelah mendapat keputusan yang sahih dan kita nak memusatkan semua jeti untuk ke taman laut.

“Kadang-kadang pelancong ini keliru jeti mana mereka perlu pergi unti naik bot ke taman laut, jadi bila ada satu tempat kita dapat promosikan dengan taman laut ini dengan lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1874
Kongsi :
Previous post MURID SK JERAM HANDAL BERSILAT
Next post PELBAGAI PAMERAN MENARIK DI EKSPO TVET @KKDW 2024
Ubah saiz-+=