HANG TUAH CENTRE DIBUKA SEMULA 1 OKTOBER
AYER KEROH 26 September – Kompleks Hang Tuah Centre atau dahulu dikenali sebagai Perkampungan Hang Tuah akan kembali beroperasi dan dibuka kepada orang ramai pada 1 Oktober ini.
Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Erne Hamsah berkata, ia selepas kerja menaik taraf kompleks itu yang menelan kos lebih RM3.81 juta selesai sepenuhnya.
Menurutnya, selepas di naik taraf Kompleks Hang Tuah Centre kini berwajah baharu, termasuk dilengkapi pameran dengan teknologi terkini dan serba canggih.
“Projek naik taraf ini termasuklah membaik pulih gelanggang silat dan ‘stable’ kuda, menaik taraf Taman Hang Tuah (landskap), membaik pulih Rumah Lima Bersaudara dan pengalihan wakaf sedia ada.
“Selain itu turut dilaksanakan kerja-kerja menaik taraf blok auditorium (Muzium Hang Tuah), membaik pulih ‘railing’, pemasangan papan tanda dan lantai konkrit ‘imprint’.
“Terdapat juga tarikan baharu seperti penanaman pokok dan objek viral di Taman Hang Tuah serta peragaan pameran baharu seperti penggunaan teknologi realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR),” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sebelum ini Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Wira Roslan Abdul Rahman berkata kerja menaik taraf itu merupakan salah satu daripada tiga projek di Melaka yang diluluskan Kementerian Kewangan di bawah Peruntukan Khas: Kumpulan Wang COVID-19 pada tahun 2021.
Menurutnya kemudahan dan kecanggihan teknologi digunakan di kompleks itu dapat menarik lebih ramai pengunjung menyemarakkan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan seterusnya Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.