MURID SK JERAM HANDAL BERSILAT
MASJID TANAH 26 September – Empat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Masjid Tanah mencipta kejutan apabila berjaya meraih dua pingat emas dan dua gangsa dalam Kejohanan Silat Olahraga Usta Fighter Terbuka Kebangsaan 2024.
Kejohanan itu melibatkan seramai 900 pesilat dari 72 persatuan silat terdiri daripada pelbagai kategori yang diadakan di Kompleks Sukan Masjid Tanah, baru-baru ini.
Murid berkenaan adalah Muhammad Darwisy Mohd Jefri, 10, bagi kategori (Pra Dini Putra) dan Zarith Sofea Basiron, 10, (Pra Dini Putri) yang membawa pulang pingat emas.
Manakala Sayed Ezry Elman Sayed Eryas Normayuddin, 11, dan Muhammad Syazwi Mohd Sharidan, 12, masing-masing membawa pulang pingat gangsa.
Guru Besar SK Jeram Samsir A. Rawad berkata, pihak sekolah sentiasa memberikan sokongan dan galakan kepada semua murid untuk menyertai apa jua kejohanan untuk mencungkil bakat mereka.
“Untuk kejohanan ini, murid menyertai sesi latihan dua kali seminggu di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah di bawah Kelab Silat Taming Sari Fighter.
“Kejuaraan ini diadakan pada setiap tahun dan kita sasarkan untuk menghantar lebih ramai pesilat berbakat pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Samsir turut optimis untuk memperluaskan lagi minat murid dalam silat yang menjadi antara seni mempertahankan diri yang perlu diwarisi generasi muda di negara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.