CUAI MASUKKAN GAMBAR, EMPAT PEGAWAI JAIM DIKENAKAN TINDAKAN

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

TELOK MAS 23 September – Ketua Penolong Pengarah di Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) antara empat pegawai di jabatan itu yang dikenakan tindakan tatatertib selepas didakwa cuai memasukkan gambar pemimpin politik di dalam video khutbah Jumaat, minggu lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan itu diambil berikutan kecuaian dan menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam khususnya.

“Kami memohon maaf atas kesilapan beberapa pegawai yang menyiapkan paparan dan info grafik berkenaan, tindakan tatatertib sudah diambil termasuk memberhentikan dan menukar perjawatan mereka ke jabatan serta daerah lain.

“JAIM sudah menjalankan siasatan dan didapati kejadian memang benar berlaku malah mereka yang terbabit sudah mengaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Kampung Tersusun, Bukit Larang yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta Pengarah JAIM, Datuk Badaruddin Mohd Kassim.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, susulan kejadian itu, JAIM memberi jaminan perkara sama tidak akan berulang, selain menganggap isu berkenaan sudah selesai.

“Saya harap tidak berlaku lagi selepas ini kerana kejadian itu mendapat perhatian bukan sahaja di peringkat negeri malah nasional,” katanya.

Khutbah bertajuk `Negaraku, Tanah Airku’ yang disediakan Bahagian Pengurusan Masjid JAIM bersempena Sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu mencetuskan perdebatan apabila paparan dan info grafik khutbah yang disiarkan di papan layar di semua masjid itu memaparkan wajah seorang ketua parti pembangkang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

295
Kongsi :
Previous post LEBIH RM7 JUTA SELENGGARA SRA JAIM
Next post MOUNT OPHIR TRAIL RUN 2025 LEBIH MENCABAR
Ubah saiz-+=