MPJ ATUR SISTEM PENGGILIRAN LEBIH SISTEMATIK, KAUNTER KEKAL DIBUKA WAKTU REHAT

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

JASIN 23 September – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) sedang mengatur sistem pengiliran bertugas di setiap kaunter bagi memastikan sistem penyampaian dan perkhidmatan dilaksanakan secara berterusan serta tidak terbantut pada waktu rehat.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Mohd Shaiful Hizam Johan berkata pihaknya menyambut baik saranan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, agar setiap jabatan dan agensi membuka kaunter pada waktu rehat tengah hari bermula 1 Oktober depan.

Katanya, ketika ini MPJ sudah melaksanakan amalan itu bagi mengelakkan orang ramai terutama yang hadir sekitar jam 1 tengah hari hingga 2 petang daripada terpaksa menunggu lama bagi menyelesaikan urusan mereka.

“Kami di MPJ menyambut baik saranan daripada Ketua Menteri untuk memberikan masa yang lebih panjang kepada pelanggan yang datang berurusan di kaunter.

“MPJ sedang mengatur penggiliran sistem bertugas dan melaksanakan penambahbaikan untuk memberi keselesaan kepada pelanggan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Whatsapp Image 2024 09 23 At 4.52.14 Pm

SUASANA kaunter perkhidmatan MPJ yang dibuka seperti biasa pada waktu rehat, sekali gus mengelakkan orang ramai daripada terpaksa menunggu lama bagi menyelesaikan urusan mereka.

Mengulas lanjut, Mohd Shaiful Hizam berkata, orang ramai juga boleh memilih alternatif lain seperti memanfaatkan platform maya secara dalam talian untuk berurusan dengan MPJ.

“Kita juga sudah memaklumkan kepada pelanggan MPJ bahawa urusan boleh dilakukan secara maya untuk memudahkan mereka, namun jika perlu ke kaunter pada waktu rehat, kita buka seperti biasa,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

55
Kongsi :
Previous post MBMB BUKA SEMUA KAUNTER BERMULA 1 OKTOBER
Next post LEBIH RM7 JUTA SELENGGARA SRA JAIM
Ubah saiz-+=