MBMB BUKA SEMUA KAUNTER BERMULA 1 OKTOBER

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 23 September – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan membuka semua kaunter perkhidmatannya pada waktu rehat tengah hari bermula 1 Oktober nanti dalam usaha untuk memberikan keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, untuk menjamin kelancaran operasi pihaknya akan melaksanakan sistem giliran bagi kakitangan untuk berehat membabitkan semua kaunter perkhidmatan terlibat selepas ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, sebelum ini pihaknya hanya membuka kaunter kewangan yang kebiasaannya menerima pelanggan dalam kalangan orang ramai yang mahu menjelaskan bayaran kompaun.

“Selepas ini bermula 1 Oktober nanti, MBMB akan membuka semua kaunter tanpa tutup seperti Kaunter Lesen; Kaunter Pelan Bangunan dan Kaunter Pusat Khidmat Setempat (OSC). Pelaksanaan ini turut membabitkan kaunter bergerak di lokasi yang terpilih.

“Kita harap menerusi inisiatif dan usaha ini dapat memberikan keselesaan kepada rakyat Melaka khususnya yang mahu berurusan tanpa mengira masa di MBMB,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Whatsapp Image 2024 09 23 At 3.27.08 Pm (1)
ORANG ramai berurusan di kaunter MBMB.

Menurutnya, pelaksanaan tidak ada lagi penutupan kaunter pada waktu rehat tengah hari adalah selaras dengan saranan daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mahu setiap jabatan dan agensi Kerajaan Negeri meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Terdahulu, Ketua Menteri pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan September 2024 mengarahkan semua kaunter perkhidmatan Kerajaan tidak lagi ditutup pada waktu rehat bertujuan mempermudahkan urusan rakyat di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

197
Kongsi :
Previous post KONTRAKTOR KERUGIAN LEBIH RM460,000 TERPERDAYA SKIM PELABURAN TIDAK WUJUD
Next post MPJ ATUR SISTEM PENGGILIRAN LEBIH SISTEMATIK, KAUNTER KEKAL DIBUKA WAKTU REHAT
Ubah saiz-+=