SEMUA BOLEH SERTAI MENU RM10 – KM

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 September – Pengusaha makanan di negeri ini dipelawa menyertai Menu RM10 sempena Melaka Bila Larut Malam pada Sabtu minggu pertama setiap bulan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sesiapa sahaja boleh memohon untuk inisiatif berkenaan dalam bersama-sama Kerajaan Negeri memacu sektor pelancongan di Melaka.

“Saya mempelawa semua pengusaha kedai makan menyahut saranan Kerajaan Negeri dalam merancakkan lagi ekonomi Negeri Melaka.

“Selain produk pelancongan, makanan juga pada harga RM10 sempena Melaka Bila Larut Malam untuk pengunjung dan pelancong, semua ini tiada di negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Set Kombo Menu RM10 Bagi Program Melaka Bila Larut Malam Dan Pelancaran Kilang Makan Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Jalan Tun Ali, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, kewujudan sebuah gedung makanan baharu dinamakan Kilang Makan di Jalan Tun Ali, bakal menjadi satu lagi tarikan baharu pelancongan di Melaka.

Menariknya, beliau memaklumkan, 30 vendor yang menawarkan pelbagai jenis makanan, di situ, turut menyahut inisiatif Menu RM10 dengan menyediakan kombo menarik kepada pengunjung.

“Dengan lokasinya yang menarik di tepi Sungai Melaka, selain berdekatan Bandaraya Melaka dan mudah diakses, saya percaya ia bakal menjadi satu lagi daya penarik di negeri ini,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

308
Kongsi :
Previous post MELAKA BILA LARUT MALAM JANA HASIL LEBIH RM600,000
Next post DUA BERANAK SAHUT CABARAN ‘MOUNT OPHIR’
Ubah saiz-+=