Sorting by

×

111 ANAK ALOR GAJAH SAMBUNG PENGAJIAN DAPAT SUNTIKAN SEMANGAT

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

MACHAP JAYA 21 September – Kegembiraan jelas terpancar di raut wajah 111 pelajar dari Parlimen Alor Gajah apabila menerima bantuan ‘one-off’ melanjutkan pengajian daripada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), hari ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, peruntukan berjumlah RM48,400 itu disalurkan Kerajaan Negeri menerusi TAPEM kepada pelajar yang berjaya menyambung pengajian sama ada ke peringkat diploma mahupun ijazah.

“Di Parlimen Alor Gajah seramai 111 pelajar layak menerima ‘one-off’ ini yang membabitkan seramai 91 pelajar diploma dan 20 pelajar di peringkat ijazah. Bagi pelajar diploma mereka menerima RM400 manakala untuk ijazah pula RM600 setiap seorang.

“Dengan bantuan ini, ia diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa pelajar dalam membuat persiapan menyambung pengajian dan sekali gus memberikan suntikan semangat kepada pelajar itu sendiri,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan ‘One-Off’ IPT Parlimen Alor Gajah, di Japerun Machap Jaya, hari ini.

Hadir sama, Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah Datuk Zahari Abd Khalil dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Senator Datuk Mustafa Musa.

Fairul Nizam berkata, penyampaian bantuan ‘one-off’ itu diberikan secara terus kepada penerima mengikut Parlimen dan Alor Gajah adalah Parlimen keempat selepas Masjid Tanah, Jasin dan Hang Tuah Jaya.

“Berbanding sebelum ini pengagihan bantuan dibuat secara dalam talian tetapi namun menerusi program turun padang sebegini ia lebih berkesan dan secara tidak langsung dapat menyantuni rakyat.

“Saya ingin menasihatkan anak-anak yang dapat menyambung pengajian tetapi tidak berkemampuan jangan kecewa dan berputus asa, maklumkan hal itu dan kami akan bantu kerana di TAPEM terdapat tawaran pinjaman pengajian tinggi kepada pelajar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2415
Kongsi :
Previous post MAIM RAI, BIMBING PASANGAN MUALAF
Next post YB-YB MELAKA ‘EASY TO ACCESS’
Ubah saiz-+=