MAIM RAI, BIMBING PASANGAN MUALAF

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDARAYA MELAKA 21 September – Seramai lima pasangan pengantin mualaf di negeri ini diraikan pada Majlis Pernikahan dan Walimatulurus Mualaf Negeri Melaka Siri 2 Tahun 2024M/1446H, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rosli Abdullah, berkata, kesemua pasangan itu bukan sahaja diraikan, bahkan turut diberi bimbingan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Balai Islam.

Jelas Rosli, bimbingan dan didikan amat penting bagi saudara baharu dalam memastikan mereka dapat melayari bahtera berumah tangga mengikut cara Islam.

“Di pihak MAIM menerusi Balai Islam kita bukan sahaja menganjurkan majlis pernikahan dan walimatulurus tetapi juga memberi tazkirah serta mengadakan Kursus Pasca Awal Perkahwinan buat pasangan ini.

“Menerusi program sebegini ia secara tidak langsung dapat memberi ilmu rumah tangga kepada pasangan selain mereka berlapang dada untuk bertanya akan sebarang keraguan atau tentang tanggungjawab sebagai seorang suami dan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Hadir sama, Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis dan Penolong Setiausaha Balai Islam, Ustaz Mohd Nasir Wahab.

Dalam ucapannya, Rosli turut memberi menasihati setiap pasangan agar mempunyai nilai kesedaran dan mempersiapkan diri dalam membentuk sebuah keluarga bahagia.

“Bagi setiap pasangan yang baru memasuki alam perkahwinan, paling penting mereka harus mempunyai nilai kesedaran supaya dapat bersedia dan menyiapkan diri bagi menghadapi perubahan dalam diri pasangan.

“Untuk itu ambil perkara positif bagi dijadikan iktibar dalam membahagiakan pasangan, selain saling bantu-membantu bagi memastikan keluarga yang dibina sentiasa aman bahagia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

141
Kongsi :
Previous post 285 BUKTI BERKAIT AJARAN AL-ARQAM DITEMUI DI MELAKA
Next post 111 ANAK ALOR GAJAH SAMBUNG PENGAJIAN DAPAT SUNTIKAN SEMANGAT
Ubah saiz-+=