Sorting by

×

LALUAN UDARA, LAUT DI MELAKA ‘SIBUK’ BERMULA OKTOBER

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KOTA LAKSAMANA 21 September – Melaka dijangka akan terus menerima kebanjiran pelancong apabila laluan udara dan laut di negeri ini kembali sibuk bermula Oktober depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia susulan pendaratan pertama syarikat penerbangan tambang rendah Singapore Airlines, Scoot, di Lapangan Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, pada 23 Oktober depan.

Selain itu, tambah beliau, Melaka juga bakal menerima kehadiran pelancong dari jalan laut, menerusi kapal persiaran mewah, Genting Dreams yang akan berlabuh bermula 11 November depan.

“Melaka bakal menerima limpahan pelancong menerusi peningkatan mobilasi pengangkutan, misalnya pendaratan udara Scoot Airlines sebanyak lima kali seminggu bermula 23 Oktober ini.

“Pada masa sama, kehadiran kapal persiaran Genting Dreams bermula 11 November pula dijangka menerima purata penumpang 200,000 setahun sekali gus bakal merancakkan lagi sektor pelancongan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan sebuah kondominium baharu di Kota Syahbandar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Abdul Aziz Engan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana Low Chee Leong dan lain-lain kenamaan.

Sebelum ini, media melaporkan Scoot akan melakukan penerbangan lima kali seminggu ke Melaka, di mana tempahan tiket boleh dibuat bermula 6 Ogos lalu.

Harga tiket sehala yang ditawarkan adalah serendah S$69 (RM224), termasuk cukai.

Manakala, Genting Dreams Cruise dari Singapura pula akan berlabuh di Melaka setiap hari Isnin selama 52 minggu dengan tempoh 12 jam masa persinggahan, bermula 10 November depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7763
Kongsi :
Previous post MELAKA KEKAL ‘JUARA’ HARGA RUMAH TERENDAH
Next post BISTARI BERSAMA BANGUNKAN UMAT ISLAM DI MELAKA
Ubah saiz-+=