MACAM-MACAM ADA DI EKSPO TVET@KKDW MITC, 27-29 SEPTEMBER INI
AYER KEROH 22 September – Orang ramai khususnya rakyat Melaka serta Johor dan Negeri Sembilan dipelawa hadir ke Ekspo Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) @ Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang berlangsung 27 hingga 29 September ini.
Ekspo selama tiga hari bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh itu diadakan bermula jam 9 pagi hingga 6 petang dan masuk adalah percuma kepada orang ramai.
Setiausaha Bahagian Korporat dan Pembangunan Kemahiran KKDW Mohd Nazri Mohd Deni memaklumkan ekspo tersebut membawakan 89 pameran dan demonstrasi, selain 20 pertandingan menarik untuk pengunjung.
Katanya, dianggar seramai 300,000 bakal memeriahkan penganjuran ekspo berkenaan merangkumi 100,000 pengunjung secara fizikal dan 200,000 lagi menerusi webinar TVET yang diadakan bermula 23 September.
“Antara objektif utama ekspo ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai apa itu TVET dan peluang-peluang yang ditawarkan di 279 institusi TVET di bawah KKDW.
“Ekspo ini sesuai dihadiri segenap lapisan masyarakat memandangkan TVET adalah untuk semua, termasuk pelajar-pelajar dan ibu bapa yang ingin memilih atau mengetahui jurusan dan bidang yang ditawarkan.
“Selain itu, ia juga boleh disertai majikan-majikan yang mahu meningkatkan kemahiran pekerja-pekerja mereka menerusi kursus-kursus jangka pendek yang ditawarkan KKDW,” katanya ketika bersiaran di MelakaFM bagi mempromosikan Ekspo TVET@KKDW 2024.
Menurut Mohd Nazri, Melaka buat julung kali dipilih sebagai lokasi penganjuran ekspo berkenaan memandangkan potensi bidang TVET di negeri ini begitu besar.
Tambahnya, selain mempunyai 22 kawasan perindustrian, Melaka juga bakal membangunkan German Technology Park (GTP) yang dijangka menarik lebih 20 syarikat dari Jerman untuk melabur di negeri ini.
“Kita melihat peluang TVET dan pekerjaan itu besar, jadi kita tidak mahu rakyat Melaka dan kawasan sekitar hanya bekerja sebagai operator pengeluaran, sebaliknya mereka boleh menjadi pekerja berkemahiran dengan dibayar gaji yang premium.
“Atas sebab itu, kita mahu bidang TVET ini dipromosi secara meluas supaya masyarakat khususnya anak muda dapat manfaat dengan bidang masa depan ini dalam meningkat ekonomi keluarga,” jelasnya.
Tambah beliau, ekspo berkenaan dijangka akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 27 September ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.