TANGANI SEGERA HAKISAN PANTAI PENGKALAN BALAK – KM
TANJUNG BIDARA 20 September – Pelbagai langkah dan mekanisme akan dilaksanakan dalam usaha Kerajaan Negeri untuk melindungi komuniti setempat di pantai Pengkalan Balak daripada terus diancam masalah hakisan.
Serius mahu melindungi kepentingan rakyat, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ketika ini perhatian diberikan di kawasan pantai sepanjang empat kilometer (km) di Pengkalan Balak.
Ketua Menteri berkata, usaha itu akan disegerakan kerana peruntukan berjumlah RM21 juta bagi menangani masalah hakisan di Pengkalan Balak diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, bersama kontraktor juga sudah membentangkan beberapa kaedah untuk mengelakkan hakisan berlaku ketika ini menjadi semakin serius.
“Antara ikhtiar atau usaha dicadangkan untuk mengatasi masalah hakisan adalah dengan membina benteng pemecah ombak, selain kerja-kerja penambakan laut,” kata Ketua Menteri yang ditemui selepas turun padang meninjau kesan hakisan di Pengkalan Balak, petang tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.