TAMAN EKSTREM TASIK CHINCHIN KEMBALI ‘BERNYAWA’

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 21 September – Taman Ekstrem Tasik Chinchin kembali dibangunkan semula sebagai sebuah lokasi pelancongan dalam daerah Jasin selepas menaik taraf kawasan itu dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, kawasan itu akan kembali bangkit sebagai pusat sukan dan ekopelancongan negeri selepas tidak beroperasi sejak empat tahun lalu.

Katanya, Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Ketua Menteri (CMI) telah melaksanakan penambahbaikan dan menaik taraf fasiliti kawasan itu bagi memastikan destinasi pelancongan itu kembali bernyawa selepas terbengkalai akibat penularan pandemik COVID-19.

“Alhamdulillah, kita komited mengambil langkah menghidupkan semula taman ekstrem ini sebagai sebuah lokasi rekreasi dan riadah buat peminat aktviti perkhemahan, sukan berbasikal serta pelbagai lagi.

“Empat tahun lalu ia dibiarkan disebabkan operatornya terkesan akibat pandemik yang melanda dan ia telah diselenggarakan kembali oleh CMI bagi membangunkan semula kawasan ini.

“Langkah ini dilaksanakan supaya terdapat satu lagi produk pelancongan di Melaka lebih-lebih lagi dalam menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Bagi Bulan September 2024 diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam.

Program itu telah disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad, Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ahli Dewan Rakyat, Ketua-Ketua Jabatan serta tetamu lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha berterusan akan diambil dengan pelbagai penganjuran program menarik di kawasan itu sekali gus akan menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Taman Ekstrem Tasik Chinchin.

Katanya, penganjuran Jamboree @Chinchin X Helaz dijadual akan diadakan pada 25 dan 26 Oktober membuka pelbagai penyertaan sukan lasak dan perkemahan kepada peminatnya.

“Pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan pada hari tersebut termasuk acara utamanya yang membuka peminat sukan menyertai perlumbaan trek berbasikal sepanjang 30 kilometer.

“Pendaftaran telah mula dibuka sekarang sehingga 18 Oktober ini dengan kadar yuran penyertaan sebanyak RM80 seorang dan ia terhad kepada 1,000 peserta terawal sahaja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2223
Kongsi :
Previous post PROMOSI I-WAQAF DALAM KALANGAN PENJAWAT AWAM
Next post MAIM BANTU PESAKIT KANSER
Ubah saiz-+=