CARI PENYELESAIAN BANJIR MASJID TANAH, ALOR GAJAH – KM

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 20 September – Punca kejadian banjir berulang di Masjid Tanah dan Alor Gajah perlu segera dikenal pasti supaya permasalahan itu dapat diselesaikan dalam tempoh jangka masa pendek.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menegaskan Kerajaan Negeri memandang serius berhubung bencana itu berikutan telah menjejaskan kira-kira 6,000 penduduk kawasan terbabit.

Menurut Ketua Menteri, pihaknya telah mengarahkan penubuhan Jawatankuasa Task Force diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka bagi menyegerakan perbincangan untuk mengenal pasti punca banjir.

“Saya menekankan betapa pentingnya perhatian serius diberikan kepada isu banjir yang berlaku berulang kali di kawasan sama bagi melaksanakan pelan jangka masa pendek dan panjang.

“Selain mengenal pasti puncanya jawatankuasa itu perlu melakukan perbincangan secara teoritikal dan turun padang, sekali gus membuat anggaran kos bagi tindakan pelaksanaan pelan jangka masa pendek agar dapat meminimakan impak kepada kawasan banjir yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Bagi Bulan September 2024 diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad, Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ahli Dewan Rakyat, Ketua-Ketua Jabatan serta tetamu lain.

Susulan daripada bencana yang berlaku katanya Kerajaan Negeri telah melaksanakan inisiatif segera seperti pengecualian bayaran atau rebat air percuma bagi bil bulan Ogos dengan membabitkan 3,521 pengguna Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

“Kerajaan Negeri juga terus bertindak menyalurkan lebih 2,000 kit makanan dan wang bantuan bencana sebanyak RM300 diharapkan dapat mengurangkan bebanan mereka,” katanya.

Pada masa sama, Ketua Menteri turut meluahkan rasa dukacita berikutan kawasan di Masjid Tanah dan Alor Gajah terjejas banjir pada Ogos, kembali dilanda bencana itu dalam kejadian 12 September lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

233
Kongsi :
Previous post PEMIMPIN SEKTOR AWAM TIDAK BOLEH LAGI MENGELAK MEDIA, ORANG RAMAI
Next post MAIM SASAR KUTIPAN ZAKAT 2024 CECAH RM135 JUTA
Ubah saiz-+=