UNIMEL TAWAR KEMASUKAN PENGAJIAN MELALUI APEL.A

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KUALA LINGGI 19 September – Bermula tahun hadapan, Universiti Islam Melaka (UNIMEL) menawarkan kemasukan pelajar tidak cukup syarat kelayakan menerusi ‘Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu Bagi Tujuan Kemasukan’ (APEL.A) bermula tahun depan.

Kemasukan pelajar melalui APEL.A itu membabitkan peringkat Diploma, Sarjana Muda dan Sarjana bagi semua program pengajian.

UNIMEL dalam satu kenyataan memaklumkan, tawaran itu merupakan kerjasama bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas kedua-dua pihak menandatangani Surat Niat pada Julai lalu.

Jelas kenyataan tersebut, tawaran itu sekali gus memberikan manfaat dan peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pelajaran di peringkat pendidikan tinggi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“APEL.A adalah satu penilaian terhadap ilmu yang diperoleh oleh seseorang itu menerusi pendidikan formal mahupun menerusi pengalamannya yang terdahulu sebagai pengganti syarat kelayakan masuk ke sesebuah IPT.

“UPNM sebagai Pusat Penilaian APEL Terbuka akan menilai dari segi ujian aptitud, portfolio dan temu duga kepada bakal pelajar ini, dan setelah lulus kesemua penilaian, pelajar yang sebelum ini tidak cukup syarat kelayakan akan dibenarkan menyambung pengajian tinggi di UNIMEL,” jelas kenyataan itu.

Surat Niat antara dua IPT terbabit telah diserahkan oleh wakil dari Timbalan Naib Canselor UNIMEL, Dr. Anas Tajudin dan Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Kualiti Akademik UPNM, Prof. Dato’ Dr. Norhasni Zainal Abidin.

Dalam pada itu, UNIMEL dan UPNM menzahirkan harapan agar tawaran tersebut memberi manfaat dan peluang kepada masyarakat untuk terus menyambung pengajian di peringkat tertinggi dalam meningkatkan kualiti dan mutu kerjaya mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

170
Kongsi :
Previous post GENERASI MUDA ‘HAYATI’ SENI WARISAN MANGKUK TINGKAT
Next post SNUKER TAMBAH KEMERIAHAN SUKAN MELAKA 2024
Ubah saiz-+=