KASTAM MELAKA TUMPAS TUJUH KES SELUDUP SEJAK JULAI
Pengarahnya Nadzri Che Ani berkata kegiatan itu membabitkan rampasan barangan tidak bercukai seperti minuman keras, kereta mewah, dadah, serbuk timah, rokok dan tembakau dalam serbuan di dalam dan luar Melaka.
Beliau berkata antara rampasan jarang diperoleh ialah 5,000 kilogram serbuk timah dianggar bernilai RM450,000 termasuk cukai hasil penahanan sebuah lori di Mersing, Johor, 17 Ogos lepas.
“Serbuk timah itu dipercayai diseludup dari Indonesia menggunakan bot melalui perairan berhampiran bandar Mersing untuk dijual kepada industri.
“Hasil pemeriksaan, pemandu dan kelindan lori berusia 30 serta 40-an itu gagal mengemukakan dokumen pembuktian serbuk timah terbabit telah dibayar cukai. Kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dalam kes lain, beliau berkata pihaknya turut merampas 4,015 kilogram serbuk tembakau dianggar bernilai RM77,088 termasuk cukai hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pelabuhan Utara Klang, Selangor kira-kira 1 tengah hari, 3 Sept lepas.
Beliau berkata serbuk tembakau terbabit diikrar sebagai produk makanan dan dibungkus dalam plastik lut sinar dengan diisi dalam 803 kotak besar serta disembunyikan di belakang barangan lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Wakil syarikat ejen penghantaran berusia 30-an, katanya telah ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
“JKDM Melaka turut merampas sebuah kereta mewah jenama Lotus dianggar bernilai RM531,960 termasuk cukai di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor 17 Julai lepas.
“Kenderaan itu dipercayai diseludup dari Singapura dan disembunyikan di lot parkir kereta di bangunan pusat beli-belah berkenaan sejak tiga bulan lepas,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.