36 AJARAN SESAT DIFATWAKAN DI MELAKA SEJAK 1986

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

PENGKALAN BATU 17 September – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menfatwakan 36 ajaran sesat dan kesalahan berkaitan akidah di negeri ini sejak 1986.

Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, daripada jumlah itu sebanyak lima ajaran dan amalan baharu dikenal pasti dan kini masih dalam tindakan Pejabat Penasihat Undang-Undang untuk disenaraikan dalam pewartaannya.

Jelasnya, senarai 36 fatwa itu telah disediakan oleh Jawatankuasa fatwa di bawah Seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 dan telah dikemukakan kepada Majlis oleh Mufti bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa serta telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Lima ajaran dan amalan baharu yang dikenalpasti itu ialah Ajaran dan Fahaman Irwan Bin Alias; Ajaran Suhaini Bin Mohammad (Si Hulk); Amalan dan Kaedah Perubatan Encik Adam Bin Isa (Tabib Adam); Penyelewengan Ajaran Risalah Bab Kesucian Yan Dibawa Oleh Wayang Hadi Kesumo (Hadi Minallah) dan Kewajipan Berpegang denan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Selain itu, sebanyak empat ajaran telah difatwakan pada tahun lalu iaitu; Penyelewengan Gerakan Al-Dawla Al-Islamiya Fi Iraq Wa Shams (DAESH); Atau Islamic State In Iraq And Shams (ISIS); Atau Islamic State And The Levant (ISIL); Atau Islamic State (IS); Penyelewengan Ajaran Ilmu Makrifat (Mengenal Allah/ Diri Oleh Mohd Yusof cik Wook Yang Disebarkan Oleh Haji Shaari bin Mohd Yusof; Pengharaman Doktrin Yang Dibawa Oleh Kumpulan Hizbu Tahrir Malaysia dan Pengharaman Ajaran Asmaul Husna Yang Dibawa Oleh Dr. Wan Maseri binti Wan Mohd.

“Sejak 1986 satu ajaran telah difatwakan disusuli pada 1994, 1996 dan 1997 diikuti empat ajaran pada 2001; dua ajaran pada 2003; satu pada 2004 dan 2006; dua ajaran pada 2007; satu pada 2009 dan 2010; tiga pada 2011; satu pada 2012; dua pada 2013; dua pada 2015; satu pada 2017 dan dua ajaran pada 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024 di Dataran Pusat Islam, di sini hari ini.

Program diadakan itu telah dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim serta tetamu lain.

Dalam pada itu, katanya, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan terus memantau jika terdapat isu penularan ajaran sesat di negeri ini.

Menurutnya, beliau tidak menolak kerana masih ada ajaran sesat di negeri ini bergerak secara rahsia meskipun ajaran mereka telah difatwakan.

“Walaupun kadangkala ia tidak berlaku di Melaka tapi ia tidak mustahil ada pengikut-pengikut mereka di negeri ini.

“Kita menasihatkan kepada seluruh umat Islam termasuk ahli keluarga kita sendiri jika mendapati sebarang perkara yang mencurigakan perlu segera melaporkan kepada JAIM supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

418
Kongsi :
Previous post S-PLAN DITUBUHKAN SEMULA, LANCAR PENGURUSAN PELAJAR KE TIMUR TENGAH
Next post KASTAM MELAKA TUMPAS TUJUH KES SELUDUP SEJAK JULAI
Ubah saiz-+=