Sorting by

×

WAU PUNGGUK BERLAGU PERSIS GESEKAN BIOLA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KLEBANG 16 September – Siapa sangka selain mewarnai langit ketika musim berangin, layang-layang dan wau juga mampu menghasilkan muzik atau latar bunyi yang mendamaikan.

Itu antara keunikan ‘Wau Pungguk Pahang’ yang menjadi antara tarikan di Karnival Usahawan@Festival Layang-Layang Antarabangsa Melaka 2024 di Klebang Street, yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini.

Menurut pemiliknya, Mohd Ridhuan Abdul Rahman, 64, layang-layang yang dimilikinya sejak enam tahun lalu itu mampu menghasilkan bunyi seakan gesekan biola.

Menurut anak jati Pekan, Pahang itu, layang-layang miliknya mempunyai keunikan dalam sudut pembuatan kerana ia diperbuat dari rotan, kayu batang pinang dan buluh.

“Wau Pungguk Pahang ini menghasilkan bunyi dengung kerana gandar atau busurnya diperbuat daripada batang pokok pinang. Sebab itu apabila diterbangkan ia menghasilkan bunyi dengung.

“Saya telah berkecimpung dalam pembuatan wau atau layang-layang ini sejak berusia 13 tahun lagi dan Wau Pungguk Pahang ini telah pergi ke serata negeri dan orang mesti teruja kerana bunyi yang dihasilkan apabila ia ditiup angin.

“Bersaiz lima kaki tinggi dan lebar dua kaki, layang-layang ini memerlukan dua orang untuk menerbangkannya,” katanya ketika ditemui pada pesta berkenaan.

Menurut Mohd Ridhuan, layang-layangnya itu diberi nama Wau Pungguk Pahang kerana corak layangannya itu sebenarnya berbentuk kepala burung pungguk.

“Jika di Pahang, Wau Pungguk ini merupakan wau tradisi dan layang-layang yang saya beri nama Wau Pungguk Pahang ini adalah sebagai salah satu usaha dan tanggungjawab untuk memartabatkan kembali seni warisan Wau Pungguk,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

110
Kongsi :
Previous post WARGA EMAS TAK PERNAH JEMU SAKSI PERARAKAN MAULIDUR RASUL
Next post NAIK TARAF JALAN HUTAN SIMPAN AKAN DISAMBUNG SEMULA ESOK
Ubah saiz-+=