Sorting by

×

NAIK TARAF JALAN HUTAN SIMPAN AKAN DISAMBUNG SEMULA ESOK

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SUNGAI UDANG 16 September – Kerja-kerja menaik taraf Jalan Hutan Simpan Sungai Udang akan bersambung semula esok bermula jam 7 petang hingga 6 pagi.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer memaklumkan, walaupun kerja-kerja itu dijadual selesai pada 13 September lalu, namun beberapa penambahbaikan perlu dilakukan demi keselamatan pengguna jalan raya.

Ujar beliau, tempoh sebenar lanjutan masa itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selepas pihaknya mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka dan Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd.

“Disebabkan berlaku beberapa masalah berkaitan utiliti, selain cuaca tidak menentu sebelum ini, beberapa kerja pembaikan tertangguh selain ada kawasan yang mengalami kerosakan.

“Jadi mungkin akan ada tambahan masa bagi pihak kontraktor menyelesaikan kerja-kerja naik taraf itu untuk keselesaan pengguna jalan raya.

“Kita akan mencari pendekatan terbaik, antaranya seperti memendekkan jarak menaik taraf jalan supaya tidak lagi berlaku kesesakan luar biasa sebelum ini, namun semua itu hanya akan diputuskan selepas kita mengadakan perbincangan lanjut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Hameed, faktor cuaca dan kerosakan utiliti adalah antara perkara yang tidak dapat dielakkan sepanjang projek menaik taraf jalan itu dilakukan sehingga memaksa tempoh waktu bekerja terpaksa dilanjutkan.

Justeru, beliau meminta orang ramai bersabar dan memberi kerjasama untuk memastikan keselesaan semua pada masa akan datang.

Fb Img 1726459756650
NOTIS pemakluman kepada orang ramai.

Sementara itu, tinjauan mendapati Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd telah memuat naik notis pemakluman mengenai kerja naik taraf yang akan dijalankan esok (17 September) di laman Facebooknya.

Menurut kenyataan itu, kerja pembaikan akan bermula dari jam 7 petang hingga 6 pagi membabitkan penutupan satu lorong secara henti dan jalan (stop and go).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5193
Kongsi :
Previous post WAU PUNGGUK BERLAGU PERSIS GESEKAN BIOLA
Next post AGONG LAWAT CHINA, LEMBARAN BAHARU HUBUNGAN DIPLOMATIK MALAYSIA-CHINA
Ubah saiz-+=