Sorting by

×

MAULIDUR RASUL DISAMBUT MERIAH DI TANJUNG BIDARA

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

TANJUNG BIDARA 15 September – Alunan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. bergema di Pantai Tanjung Bidara apabila lebih 5,000 umat Islam hadir untuk bersama-sama meraikan hari keputeraan baginda dengan penuh kesyukuran.

Program Tanjung Bidara Berselawat diadakan bersempena Sambutan Maulidur Rasul dan menjadi acara penutup Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 berlangsung dalam suasana meriah dengan kawasan itu mula dipenuhi umat Islam kira-kira jam 7 malam tadi.

Persembahan kumpulan nasyid terkenal tanah air, Raihan yang mendendangkan beberapa lagunya antaranya Assolatuwassalam, Puji Pujian, Rakan Selawat serta pelbagai lagi menambah kemeriahan sambutan berkenaan.

Img 20240915 234153 564
PERSEMBAHAN nasyid dari kumpulan Raihan menyerikan sambutan berkenaan.

Persembahan itu dimulakan sejurus selepas ketibaan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Tpr. Saifuddin Abdul Karim serta tetamu lain.

Selain persembahan nasyid, malam kelahiran Rasulullah itu turut diserikan dengan bacaan selawat beramai-ramai diketuai kumpulan Ar Rahman dibawakan khas dari Masjid Pengkalan Rama.

Program itu kemudiannya disusuli dengan ceramah oleh pendakwah terkenal tanah air, Ustaz Amran Bollywood yang berkongsi ilmu berkaitan kelebihan berselawat ke atas nabi.

Malam sambutan Maulidur Rasul itu diakhiri dengan persembahan mahalul qiyam dan ditamatkan kira-kira jam 10 malam tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

269
Kongsi :
Previous post 100 PESERTA ‘ENDUROCROSS’ BERKAMPUNG DI MASJID TANAH
Next post 100 PELAYANG TEMPATAN DAN ANTARABANGSA BERKAMPUNG DI KLEBANG
Ubah saiz-+=