LAYANG-LAYANG BENTUK ‘KUDA PUTIH’ CURI PERHATIAN
KLEBANG 16 September – Layang-layang digunakan sebagai medium meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai pelbagai jenayah dan kepolisan.
Menurut seorang pelayang yang juga bekas pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mohd Fadzil Ali, beliau aktif bermain layang-layang sejak 20 tahun lalu.
Katanya, minat mendalam terhadap sukan layang- layang itu mencetuskan semangat dan cinta antara hobi serta kerja hakiki.
“Pada saya kami pelayang ini adalah pencinta angin, kerana bermain layang-layang ini memerlukan angin, jika angin kuat kita akan main layang-layang gergasi, jika angin sederhana kuat, kita main yang kecil dan jika tiada angin kita dapat santai menunggu angin.
“Sudah banyak negara luar yang saya bawa layang-layang bertemakan kepolisan ini yang mana terbaharu pada awal tahun di Qatar dan lebih 30 layang-layang milik saya yang bercirikan kepolisan ini ditempah diluar negara antaranya dari Switzerland, Australia dan Indonesia.
“Permainan layang-layang ini akan terbang tinggi bila ada angin, jadi mesej mengenai promosi kesedaran atau membabitkan kepolisan yang ada pada layangan ini sedar atau tidak ia membuka mata masyarakat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Karnival Usahawan@Festival Layang-Layang Antarabangsa Melaka 2024 di Klebang Street, semalam.
Mengulas lanjut, jelas bekas Ketua Polis Daerah Putrajaya itu berkata, antara faktor lain beliau membawa layang-layang kepolisan adalah untuk menggambarkan PDRM sentiasa dekat dengan orang awam.
Kongsinya, selain daripada mesej yang ingin disampaikan, secara halusnya layangan kepolisan yang diterjemah itu sedikit sebanyak dapat mengubah pandangan negatif orang ramai mengenai polis.
“Bila cakap tentang polis, semua tahu pasti tegas, disiplin, garang dan sebagainya, namun menerusi layangan dengan mesej kepolisan ini membuka mata masyarakat bahawa polis ini juga manusia yang sama sahaja dengan orang awam.
“Saya juga harap aktiviti layang-layang ini dapat digunakan untuk menjadi medan menyebar perkara positif seterusnya dapat mengekalkan tradisi seiring menuju kemodenan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.