PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA JADI ACARA TAHUNAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TANJUNG BIDARA 15 September – Pesta Pantai Tanjung Bidara akan dijadikan acara tahunan pada setiap 14, 15 dan 16 September, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, ia dilakukan bagi mengembalikan semula kegemilangan Pantai Tanjung Bidara yang pernah gah sekitar era 1970-an dahulu.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara memaklumkan, pelbagai penambahbaikan akan dilakukan di kawasan tersebut dalam menjadikannya lokasi tumpuan pengunjung dan pelancong selepas ini.

“Kita akan menganjurkan pelbagai program untuk mengembalikan semula pantai ini sebagai kawasan tumpuan pelancong memandangkan di sini mempunyai kemudahan yang lengkap, selain pantainya yang bersih dan indah.

“Namun pada masa sama, kita akan lihat beberapa penambahbaikan serta pembangunan baharu yang boleh dilakukan antaranya ‘Caravan Park’, Litar Kereta Kawalan Jauh (RC Car) serta membangunkan gerai-gerai yang ada supaya dapat menarik kehadiran orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Menurut Ketua Menteri, pesta pantai pada tahun hadapan akan menampilkan beberapa tarikan baharu, antaranya himpunan dan perarakan lebih 500 bot nelayan sempena Hari Malaysia 2025.

“Saya akan jemput dan meraikan semua nelayan Negeri Melaka untuk berkampung di Pantai Tanjung Bidara bagi meraikan Hari Malaysia, tahun depan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

744
Kongsi :
Previous post NELAYAN MELAKA BERJIWA PATRIOTIK
Next post ‘GENG MELAKA 04’ DIWUJUDKAN TAHUN DEPAN
Ubah saiz-+=