TERUJA DAPAT NAIK ‘KERETA KEBAL’
TANJUNG BIDARA 14 September – Rata-rata pengunjung menyifatkan kedatangan ke Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 sebagai langkah kanan apabila dapat menyaksikan pelbagai tarikan yang disediakan.
Antara yang mencuri perhatian adalah pameran aset milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bukan sahaja membolehkan orang ramai melihat lebih dekat, bahkan merasai pengalaman masuk dan melihat kenderaan yang jarang dilihat itu.
Bagi pasangan kembar Rohana dan Rohani Mohd Juri, 45, pengalaman itu merupakan sesuatu yang tidak ternilai untuk mereka yang mengambil peluang bercuti ke Melaka bersama ahli keluarga sempena musim cuti sekolah.
“Kebiasaannya kereta perisai seperti ini hanya dapat dilihat di televisyen atau ketika Hari Kemerdekaan dan itupun hanya dari jauh.
“Tapi di sini, kami dapat bergambar dan masuk ke dalam aset-aset yang dipamerkan di sini.
“Memang kami sekeluarga sangat teruja kerana percutian ke Melaka ini ibarat langkah kanan apabila dapat menikmati pelbagai tarikan yang ada di pesta ini,” kata mereka yang berasal dari Selangor.
Tinjauan Melaka Hari Ini di tapak pameran itu mendapati orang ramai tidak putus-putus melihat sendiri aset-aset yang dipamerkan.
Antara aset-aset yang mencuri perhatian adalah Kereta Perisai Gempita 8×8 ATGW yang berfungsi menyediakan bantuan tembakan memusnahkan kereta kebal musuh pada jarak 5,000 meter serta Kereta Perisai Gempita 8×8 Surveillance yang berfungsi mengesan kehadiran musuh menggunakan radar dan optik.
Turut dipamerkan, kenderaan KPS Gatling Gun dan KPS AGL serta Meriam 105MM PH L5.
Selain itu, pesta berkenaan turut menampilkan beberapa aset milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.