Sorting by

×

KENDURI RAKYAT TUMBANG SEEKOR LEMBU

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

TANJUNG BIDARA 13 September – Juadah lauk kampung akan dihidangkan kepada pengunjung yang hadir ke Program Kenduri Rakyat bersempena Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024, Ahad ini.

Pelbagai lauk hidangan makan tengah hari antaranya kari daging dan ayam goreng akan dijamu kepada orang ramai.

Setiausaha Japerun Tanjung Bidara, Ahmad Warid Ismail berkata, proses menyediakan lauk bagi Kenduri Rakyat itu akan dibuat secara gotong-royong dengan membabitkan penduduk kampung.

“Bersempena Kenduri Rakyat itu, seekor lembu akan ditumbangkan, kemudiannya akan dimasak lauk kari untuk dijamu bukan sahaja kepada mereka yang terbabit dengan Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 tetapi juga buat pengunjung.

“Konsep Kenduri Rakyat ini kita bawakan adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam masyarakat, apabila ada aktiviti sebegini kita bukan sahaja dapat menjamu selera tetapi juga bertegur sapa antara satu sama lain,” katanya.

Ahmad Warid berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan akhir Majlis Perasmian Pesta Pantai Tanjung Bidara Bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), hari ini.

Menurutnya, segala persiapan bersempena penganjuran itu berjalan lancar dan hampir siap sepenuhnya malah agensi yang terlibat juga turut membuat persiapan akhir.

“Esok ada pameran aset dan persenjataan Tentera Darat Malaysia (TDM), jentera serta peralatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta banyak lagi reruai menarik untuk dilawati pengunjung.

“Malah gerai-gerai jualan juga sudah beroperasi dengan pelbagai hidangan makanan dan minuman,” katanya.

Jelasnya, orang ramai tidak perlu gusar dengan kehadiran monyet kerana pihaknya sudah meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk mengambil tindakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

349
Kongsi :
Previous post PARKIR PERCUMA SELAMA SEMINGGU DI MELAKA
Next post CERAMAH MAULIDUR RASUL BUKA TIRAI PESTA PANTAI
Ubah saiz-+=