TERAPKAN BUDAYA KERJA KUALITI TINGGI – KM

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

BANDA HILIR 12 September – Semua penjawat awam perlu menerapkan budaya kerja berkualiti tinggi agar kualiti perkhidmatan dapat terus ditingkatkan seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setakat ini banyak perubahan sudah dilaksanakan kearah menjadikan perkhidmatan jabatan dan agensi Kerajaan Negeri lebih cekap, sekali gus memberikan lebih keselesaan kepada rakyat.

“Saya sentiasa menekankan budaya kerja berkualiti tinggi, dalam kalangan penjawat awam agar kualiti perkhidmatan dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa seiring dengan hala tuju kerajaan negeri dalam menyantuni kesejahteraan rakyat.

“Banyak perubahan telah dilakukan untuk menjadikan perkhidmatan jabatan dan agensi lebih cekap, mengurangkan kerenah birokrasi, memantapkan pengurusan aduan serta mengaplikasikan penggunaan ICT dalam memperkemas serta memantapkan lagi perkhidmatan kepada ‘stakeholders’ termasuk para pelanggan.

“Terima kasih kepada semua penjawat awam yang telah banyak menyumbang kepada pengukuhan sistem penyampaian kerajaan,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Apresiasi Perkhidmatan Awam Negeri Melaka (MAPAN) Tahun 2024, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Aziz Engan dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh.

Ab Rauf berkata, penjawat awam juga diingatkan agar berpegang teguh kepada integriti kerana setiap daripada mereka terikat dengan Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Suka saya menegaskan semula bahawa pegawai kerajaan adalah tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 atau Official Secrets Act (OSA) iaitu undang-undang yang mengklasifikasikan maklumat kerajaan sebagai ‘rahsia rasmi’.

“Justeru, saya mahu semua penjawat terus berpegang teguh kepada integriti dengan tidak sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat kerahsiaan kerajaan,” katanya.

Menurut Ketua Menteri, penjawat awam khususnya diingatkan agar sentiasa memelihara tatakelola yang baik dan bertindak sebagai ejen perantara hubungan antara rakyat dan kerajaan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Besar harapan saya, semoga dengan majlis penganugerahan ini akan memberi inspirasi dan impak positif kepada semua warga kerja di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bagi membentuk ekosistem pekerjaan yang cemerlang selaras dengan hala tuju kerajaan negeri.

“Saya yakin, banyak lagi pencapaian yang akan kita rangkul jika penjawat awam dapat sama-sama memberi kerjasama yang jitu kepada pentadbiran kerajaan negeri.

“Malah saya serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi kepercayaan dan harapan yang tinggi kepada semua untuk menggerakkan segala misi serta visi kerajaan negeri secara tuntas,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu seramai 468 penjawat awam negeri menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), manakala 39 orang lagi menerima Anugerah Khas Perkhidmatan (AKP).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

84
Kongsi :
Previous post ‘CARAVAN PARK’ MENGHADAP SELAT MELAKA
Next post ‘BEKERJA SEBAGAI SATU PASUKAN’
Ubah saiz-+=