GADIS MISKIN HARTA, TAPI KAYA ILMU
AYER KEROH 10 September – Dilahirkan dalam keluarga serba kekurangan, bukan sempadan atau penghalang bagi gadis ini untuk cemerlang dalam pelajaran yang dianggap tiket baginya untuk mengubah nasib diri sendiri dan membantu keluarga.
Lebih manis atas kesungguhannya itu Siti Nur Syazuwani Othman, 18, diumumkan sebagai penerima Anugerah Tunas Inspirasi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 2024, Siti Nur Syazuwani Othman.
Penuntut kursus Asasi Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dengkil, Selangor itu berkata, meskipun diuji dengan kesempitan hidup namun ia bukan penghalang buat dirinya untuk fokus dalam pelajaran.
“Alhamdulillah MAIM amat cakna mengenai pencapaian akademik saya, malah agensi agama ini juga prihatin terhadap kebajikan kami sekeluarga.
“Selain pegawai MAIM yang sentiasa ambil tahu hal kami sekeluarga, pesan arwah ayah juga antara pembakar semangat saya untuk terus maju dalam pelajaran.
“Tidak dinafikan kekurangan keluarga menyebabkan saya hampir berputus asa, tetapi atas sifat sabar dan berusaha alhamdulillah saya berjaya mencapai keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu. Jika tidak fikir panjang sebelum ini mungkin saya tidak berada di sini,” katanya.
Siti Syazuwani bercita-cita ingin menjadi peguam syariah berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Tunas Inspirasi MAIM 2024 (MATIN 2024) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, pada Ahad.
Majlis itu disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, hadir sama Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad serta Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.
Menurutnya, kecemerlangan dalam bidang akademik diperoleh juga banyak dibantu oleh MAIM yang tidak henti menyalurkan bantuan.
“Saya amat bersyukur kerana MAIM banyak membantu bukan sahaja daripada segi bantuan kepada keluarga tetapi juga untuk sesi persekolahan termasuk menganjurkan program akademik.
“Banyak jasa MAIM dan pembayar zakat kepada kami anak-anak asnaf ini kerana dengan bantuan diterima kami dapat meneruskan pembelajaran,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.