ORANG KAMPUNG RASA DEKAT DENGAN PEMIMPIN
ALOR GAJAH 8 September – Penganjuran Majlis Jamuan Teh Negeri Sempena Sambutan Hari Jadi Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2024 di Dataran Keris, di sini, semalam, disifatkan mesra rakyat oleh warga Alor Gajah.
Menurut N. Narayansami , 65 yang berasal dari Rembia, sebagai orang awam majlis seumpama itu mendekatkan pemimpin dengan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Lebih mengujakan, dia dapat melihat lebih dekat dan sempat berswafoto bersama Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
“Selalunya majlis seumpama ini akan dibuat di Istana Melaka atau di kawasan Bandaraya Melaka, namun pada saya ini pertama kali dibuat di luar bandar, ia amat bagus,” katanya.
Nada sama turut disuarakan pengunjung Mohd Zamran Yusoff, 51, berasal dari Melekek Luar yang menyifatkan majlis seperti itu memberi keterujaan buat warga Alor Gajah untuk lebih dekat dengan pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri.
“Saya gembira majlis seperti ini diadakan di Dataran Keris, di mana saya harap akan datang lebih banyak program-program anjuran Kerajaan Negeri dibuat di luar bandar.
“Orang kampung seperti kami dapat sertai dan terasa dekat dengan pemimpin negeri,” jelasnya.
Sementara itu, Rosmawati Mad Tahir, 54, menzahirkan rasa terima kasih kerana memilih Alor Gajah sebagai lokasi Jamuan Teh Negeri.
“Kalau boleh selepas ini, buat lebih banyak program di sini (Alor Gajah), sebab sedar tidak sedar apabila banyak program diadakan ia dapat membangunkan ekonomi setempat.
“Kami anak kelahiran Alor Gajah berharap kawasan ini akan lebih pesat membangun meskipun dikenali sebagai kawasan luar bandar,” ujarnya.
Terdahulu, majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.