Sorting by

×

BAYI MAUT: JKM MELAKA SAHKAN TASKA TIDAK BERDAFTAR

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

ALOR GAJAH 7 September – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka mengesahkan taman asuhan kanak-kanak (taska) yang berlaku insiden bayi maut dalam jagaan pengasuh di Taman Kelemak Utama, di sini, tidak berdaftar.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Datuk Kalsom Noordin berkata, hasil semakan mendapati taska yang sudah tiga tahun beroperasi itu masih dalam proses mendapatkan surat sokongan pendaftaran.

Ujar beliau, susulan kejadian itu, dua kakitangan JKM telah melakukan pemeriksaan di premis terbabit pada jam 3.30 petang, semalam, selain Unit Kanak-kanak (taska) dan juga Unit Penguatkuasaan JKM, sekali lagi telah melakukan pemeriksaan dan menemuduga pengusaha taska, hari ini.

“Hasil semakan itu mendapati, taska ini tidak berdaftar di bawah JKM dan sedang mendapatkan sokongan pendaftaran dari Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi aspek keselamatan.

“Namun, mereka sudah menerima sokongan daripada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah.

“Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan, JKM juga tidak pernah menerima sebarang aduan kes di taska ini yang menempatkan 10 kanak-kanak, termasuk bayi yang maut,” katanya.

Kalsom berkata, JKM akan melakukan tindakan Penguatkuasaan LAK (tutup) selaras dengan peruntukan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) selain akan mengenakan tindakan pendakwaan selepas siasatan lanjut dijalankan.

Semalam, media melaporkan, seorang bayi berusia 8 bulan ditemui tidak sedarkan diri di taska berkenaan kira-kira jam 9 pagi.

Bapa mangsa, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, memaklumkan anaknya ditemui dalam keadaan muka kebiruan, selain mulutnya berdarah.

Dakwa bapa bayi itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan anaknya dibedung, disumbat botol susu, ditutup dengan kain dan ditekup dengan bantal oleh pengasuh di taska terbabit.

Susulan itu, seorang wanita berusia 34 tahun, direman selama tujuh hari sehingga 13 September, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

496
Kongsi :
Previous post ‘ALI BABA’ BARAH ROSAKKAN PENGAYUH BECA
Next post LEMAS PUNCA KEMATIAN AL FATEH
Ubah saiz-+=