71 PROGRAM MERIAHKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1446H

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 September – Sambutan Maulidur Rasul 1446 Hijrah Peringkat Negeri Melaka 2024 selama sebulan bermula 5 September hingga 15 Oktober depan bakal berlangsung dalam suasana lebih meriah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, dengan lebih 71 aktiviti sudah disusun, acara tahunan itu disasarkan menarik lebih 150,000 pengunjung beragama Islam dari seluruh Melaka.

Katanya, program paling besar dan menarik bakal dianjurkan adalah Karnival Semarak Cinta Rasul bermula 13 hingga 17 September ini bertempat di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah.

“Pelbagai acara dan pengisian disusun sepanjang lima hari karnival ini berlangsung, antara yang diatur adalah program
keilmuan seperti Ceramah Agama Perdana, Forum Perdana dan Bicara Agama.

“Kita juga sediakan aktiviti berbentuk pertandingan seperti Pertandingan Grand Qasidah, Pertandingan Muallaf Kreatif, Ihtifal Cinta Rasul Kanak-Kanak Tadika dan memanah.

“Turut dianjurkan program kerohanian seperti Gema Marhaban, Malam Semarak Cinta Rasul iaitu alunan gema selawat dan qasidah serta Malam Semarak Kesenian Dakwah yang menampilkan kumpulan nasyid popular Hijjaz. Mereka akan mempersembahkan alunan lagu-lagu kerohanian dan ketuhanan serta teater muzikal Islamik pengkisahan sirah hidup Rasulullah,” katanya.

Beliau berkata demikian sidang media selepas bersiaran di Apa Khabau YB di Melaka FM di Bangunan RTM, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata antara program besar yang lain adalah Al Azim Berselawat Bersama Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid pada 7 September; Program Khatam Al-Quran Perdana Sempena Hari Malaysia dan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka pada 14 September 2024, di Masjid Al-Ghaffar, Masjid Daerah Jasin.

Selain itu, turut diadakan Konvoi Imarah Masjid pada 14 September, jam 6.00 pagi bermula dari Masjid Al-Azim seterusnya Ke Masjid Nurul Huda, Kg. Baru Nyalas, Asahan.

“Orang ramai dijemput hadir bagi menyertai semua program dan boleh mendapatkan info berkaitan program-program yang dianjurkan menerusi semua platform media sosial Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Semoga penganjuran program-program ini menjadi medan perkongsian ilmu dalam kalangan masyarakat selain menjadi medium penyebaran dakwah terhadap masyarakat bukan Islam di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

685
Kongsi :
Previous post ‘MOHON MAAF DALAM TEMPOH TUJUH HARI’
Next post GALAK BUDAYA TANDAS BERSIH MENAWAN
Ubah saiz-+=