MELAKA BILA LARUT MALAM: MENU RM10 DIPERKENALKAN BULAN DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 September – Kerajaan Negeri akan memperkenalkan menu RM10 sempena Program Melaka Bila Larut Malam bermula bulan hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kempen itu diperkenalkan bagi memberi limpahan kepada sektor pelancongan makanan di negeri ini.

Justeru, beliau menggalakkan peniaga makanan di negeri ini agar mengolah menu tersendiri dalam menarik pelancong dan pengunjung ke premis masing-masing.

“Kerajaan Negeri berharap industri makanan untuk turut menerima limpahan daripada kebanjiran pelancong pada program Melaka Bila Larut Malam yang dianjurkan ini.

“Jadi kita amat menggalakkan semua pemilik restoran dan gerai makan di negeri ini untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri membuat atau mempromosikan menu RM10 ini.

“Sudah tentu ia akan menjadi antara daya penarik untuk pelancong dan pengunjung datang ke Melaka pada awal bulan setiap hari Sabtu, namun ia bergantung kepada pemilik premis untuk laksanakannya mengikut kreativiti dan cara tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2024, di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, selepas ini pelancong atau pengunjung bukan hanya dapat masuk ke produk pelancongan pada harga RM10, malah turut dapat menikmati menu ikonik Negeri Melaka pada harga yang sama.

“Selepas ini (pengunjung atau pelancong) bukan hanya dapat naik bot (Melaka River Cruise) atau pelbagai produk pelancongan lain dengan harga serendah RM10, malah makanan juga dapat dinikmati pada harga istimewa,” katanya.

Untuk rekod, Melaka Bila Larut Malam diadakan pada Sabtu minggu pertama setiap bulan dan mula diperkenalkan sejak Jun lalu sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Inisiatif yang menawarkan kemasukan tiket ke produk pelancongan pada harga RM10 itu mendapat sambutan hebat apabila merekodkan purata 10,000 pengunjung dan pelancong setiap kali penganjurannya bermula jam 10 malam hingga 2 pagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

240
Kongsi :
Previous post HARGA RON97, DIESEL TURUN 2 SEN
Next post MELAKA TUAN RUMAH DUA PROGRAM BESAR
Ubah saiz-+=