MUHAMMAD HAZIQ KEBANGGAAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

DURIAN TUNGGAL 5 September – Kejayaan ini adalah berkat doa ibu, selain kesungguhan diri saya mahu menjadi contoh kepada adik-adik, kata Muhammad Haziq Mohd Azuan, 12.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tengkera Dua itu berjaya mengalahkan 15 pesaing lain bagi kategori Konduktor Terbaik (Sekolah Rendah) pada Pertandingan ‘Choral Speaking’ Peringkat Kebangsaan Tahun 2024, baru-baru ini.

Menurutnya, bagi menghadapi pertandingan tersebut, dia mengambil masa selama dua bulan untuk mempersiapkan diri dengan bantuan para guru dan ibu.

“Semua yang terlibat banyak memberikan sokongan dan semangat untuk saya membuat yang terbaik pada pertandingan ini.

“Pada awalnya saya tidak mahu jadi konduktor kerana ia agak susah, tapi lama kelamaan saya jadi berminat, berkeyakinan dan semakin berani,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini.

Terdahulu hadiah kemenangan itu disampaikan Timbalan Pengarah Bahagian Sukan Sektor Pembangunan dan Kecemerlangan Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Ithnin Mahadi.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia berani menampilkan kelainan semasa menjadi konduktor ‘choral speaking’ dengan imej lebih tegas.

“Kelainan saya bawa semasa menjadi konduktor adalah perlu fokus dan tegas, saya mahu orang lihat imej saya semasa di atas pentas sangat berani.

“Bukan senang untuk menjadi seorang konduktor, ditambah pula saya tiada asasnya sejak awal, saya cuba belajar di ‘Youtube’, pernah dimarahi guru namun saya tidak akan berputus asa.

“Alhamdulillah ia membuahkan hasil, saya berjaya bekerjsama dengan 20 rakan dalam satu kumpulan semasa pertandingan, perasaan sangat gembira dan terharu tidak boleh digambarkan lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7431
Kongsi :
Previous post MELAKA TUAN RUMAH DUA PROGRAM BESAR
Next post WARGA ALOR GAJAH SAMBUT BAIK INISIATIF TANPA TUNAI
Ubah saiz-+=