MALAYSIA AKAN BERTANDING KERUSI LEMBAGA EKSEKUTIF UNESCO
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek selaku Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) akan mengumumkan secara rasmi pencalonan Malaysia sewaktu mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah UNESCO Xing Qu di Paris, Perancis.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Fadhlina akan mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 di Ibu Pejabat UNESCO di Paris, Perancis bermula esok hingga 4 Sept ini.
“Malaysia bersedia untuk bersaing mendapatkan kedudukan dalam Lembaga Eksekutif UNESCO bagi membawa misi pertumbuhan nasional yang inklusif, melindungi alam sekitar, dan mempromosikan keadilan sosial, bersandarkan kepada prinsip Membina Masa Depan Yang Berbeza (BFD),” menurut kenyataan itu.
Menurut KPM, Malaysia beriltizam melaksanakan beberapa langkah penting untuk merealisasikan objektif BFD melalui kompetensi UNESCO dalam bidang seperti pendidikan, sains semula jadi, sains dan sains sosial, kebudayaan, dan inisiatif kerjasama dengan semua pihak
“Tindakan strategik ini dapat memberi sumbangan signifikan kepada impak kelestarian, inklusiviti, mencipta peluang, dan keamanan global,” menurut kenyataan itu.
Mengenai Minggu Pembelajaran Digital 2024, KPM memaklumkan penyertaan Malaysia adalah bertepatan dengan hala tuju pendidikan negara yang memberi fokus kepada tranformasi pendidikan digital.
“Ia juga adalah wadah yang dapat menggalakkan perkongsian amalan terbaik dalam pendidikan digital dan pertukaran pendapat serta maklumat selain meningkatkan keterlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.