TABIK HORMAT ‘INSPEKTOR AISY’
BANDA HILIR 31 Ogos – Sanggup bermalam di Melaka demi meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di negeri ini menjadi bukti kasih dan sayang tidak berbelah bahagi seorang bapa kepada anaknya.
Itu pengorbanan dilakukan Mohd Azlin Zulkifli kepada anaknya, Muhammad Aisy Anaqi, 6, yang sanggup meredah perjalanan puluhan kilometer dari Seremban untuk meraikan kemerdekaan negara ke-67 di Persiaran Jalan Merdeka, di sini.
Menurut Mohd Azlin, tahun ini, anaknya berhasrat untuk memakai pakaian seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi menunjukkan rasa hormat kepada petugas barisan hadapan negara itu.
Lebih bermakna, gelagat ‘inspektor’ cilik pada sambutan yang diadakan di Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir mencuri perhatian anggota PDRM yang menyertai perarakan apabila memberi keizinan untuk anaknya bergambar bersama bagi merakam detik penuh istimewa.
“Anak saya mula meminati kerjaya polis sejak dia berumur empat tahun kerana gemar menonton drama siri Gerak Khas.
“Pakaian seragam ini dibeli ketika satu program kerjaya di tadikanya dan kini dia mahu memakai semula sempena sambutan kemerdekaan tahun ini.
“Muhamad Aisy paling teruja kerana dia bangun seawal jam 6 pagi untuk bersiap bersiap di hotel dan sangat teruja apabila diberi peluang bergambar dengan pasukan polis sewaktu perarakan pasukan itu lalu di hadapan kami,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Mohd Azlin, setiap tahun dia dan anaknya tidak pernah terlepas untuk meraikan Hari Kemerdekaan di lokasi berbeza di beberapa negeri.
“Alhamdulillah, sambutan kali ini begitu bermakna terutama buat anak saya dan diharap memori indah ini dapat menyuntik semangatnya untuk merealisasikan impian bergelar seorang anggota polis suatu hari nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.