Sorting by

×

SAMBUTAN MERDEKA MELAKA TAHUN DEPAN ADA KELAINAN

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KLEBANG 31 Ogos – Persiaran Jalan Merdeka di Banda Hilir akan kekal menjadi lokasi Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka tahun depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, ia kerana sambutan julung kali di lokasi berkenaan hari ini mendapat sambutan luar biasa apabila dibanjiri kira-kira 40,000 pengunjung, selain menerima maklum balas positif daripada orang ramai.

Malah, Ketua Menteri turut memberi bayangan bahawa satu kelainan baharu akan ditampilkan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka pada tahun hadapan.

“Alhamdulillah sokongan yang diberikan rakyat dalam menyemai erti kemerdekaan kali ini begitu meriah sehingga mereka sanggup menunggu sejak awal pagi dalam cuaca hujan.

“Sudah pasti pada tahun hadapan kita akan meraikannya di lokasi sama dan pelbagai penambahbaikan akan dilakukan sejurus ‘post mortem’ penganjuran ini dibuat.

“Apa yang pasti pada tahun hadapan kita akan cipta satu perubahan baharu, namun perinciannya masih belum boleh diumumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sebuah pasar raya di Limbongan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta tetamu lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, dalam menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 tahun ini, beliau mengajak orang ramai untuk tidak melepaskan peluang memeriahkan sambutan Melaka Bila Larut Malam, pada malam ini.

“Kita harap agar rakyat dan pelancong yang datang untuk tidak melepaskan peluang pada malam ini kerana kita telah mengatur pelbagai tarikan dengan harga yang terendah dan persembahan-persembahan kebudayaan pada malam ini.

“Saya juga berharap lebih banyak produk dan pusat perniagaan termasuk pasar raya untuk menyertai inisiatif Melaka Bila Larut Malam dengan melanjutkan waktu operasi mereka sehingga jam 2 pagi bagi menjadikan Melaka sebagai negeri pertama yang berjaya mencipta kelainan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3520
Kongsi :
Previous post MELAKA JADI PILIHAN JENAMA-JENAMA BESAR
Next post HAJAT ‘ASKAR CILIK’ LIHAT PERBARISAN ATM TERCAPAI
Ubah saiz-+=