REZEKI MERDEKA PELAJAR ‘POLI’ MENANG MOTOSIKAL
MERLIMAU 31 Ogos – Walaupun baru satu bulan menetap di Melaka kerana menyambung pengajian di Politeknik Merlimau Melaka, namun siapa boleh menidakkan rezeki buat anak muda ini.
Hannan Hanif, 18, menjadi pengunjung paling bertuah pada Majlis Sambutan Ambang Merdeka Kali Ke-67 Peringkat Negeri Melaka di Dataran Orang Kampung apabila namanya dipilih menerima hadiah utama berupa sebuah motosikal Modenas
Genap sebulan di Melaka, seorang pelajar tidak menyangka memenangi hadiah utama Cabutan Bertuah iaitu sebuah motosikal jenama Modenas Kriss, malam tadi.
Pelajar Semester satu Asasi Kejuruteraan Teknologi, Politeknik Merlimau Melaka (PMM), sama sekali tidak menyangka penyertaan yang dihantar pada saat-saat akhir membawa rezeki merdeka untuknya.
Remaja berasal dari Alor Setar, Kedah itu berkata, ia merupakan rezeki terpijak kerana ini merupakan pertama kali dalam hidupnya mendapat hadiah utama cabutan bertuah.
“Memang tidak jangka, sebelum ini setiap kali sertai cabutan bertuah, jarang sekali saya bertuah.
“Tapi siapa sangka dengan menyambung pengajian di Melaka, negeri Hang Tuah, saya bersyukur kerana diberikan ‘tuah’ yang tidak disangka-sangka ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, namanya dipilih Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada malam sambutan berkenaan.
Tambah Hannan, dia merancang untuk membawa pulang motosikal tersebut ke Kedah untuk digunakan oleh ayahnya.
“Di sini, saya sudah memiliki motosikal, jadi, saya bercadang untuk membawa pulang motosikal ini ke kampung bagi kegunaan harian ayah saya.
“Pada masa sama, saya akan jadikan hadiah yang diterima ini sebagai pembakar semangat untuk menghabiskan pembelajaran di PMM,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.