Sorting by

×

TIGA PESANAN MERDEKA BUAT RAKYAT MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

MERLIMAU 31 Ogos – Tiga pesanan merdeka digariskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Melaka 2024 yang berlangsung di Dataran Orang Kampung Merlimau, malam tadi.

Ab Rauf berkata, tiga pesanan itu perlu dijadikan asas teladan buat seluruh rakyat Negeri Melaka sempena Kemerdekaan Ke-67 tahun.

Menurut beliau, pesanan pertama adalah meskipun Malaysia hatta Melaka terus dihadapkan dengan sekian banyak cabaran, namun, jauhilah persepsi negatif dengan mengada-adakan propaganda yang boleh mencetuskan pergolakan sesama kita.

“Kedua, ayuh! kita terus perkukuhkan semangat perpaduan dan suburkan nilai-nilai patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menanamkan roh semangat mencintai negeri dan negara ini.

“Dan ketiga, saya mengajak semua, sama-sama kita menyematkan kebijaksanaan Hang Tuah dan keberanian Hang Jebat pahlawan Melayu kebanggaan Melaka untuk terus melestarikan negeri ini agar hasilnya kelak dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya ketika menyampaikan Amanat Kemerdekaan pada majlis berkenaan.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri akan terus komited dan tidak akan hilang fokus dalam memakmurkan Melaka serta mensejahterakan rakyat.

Tambah beliau, anggota pentadbiran negeri juga akan terus berikhtiar gigih dalam membangunkan Negeri Melaka, selain turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan hilang fokus dan akan terus membela untung nasib dan mendahulukan kepentingan serta kesejahteraan rakyat.

Pada majlis sambutan itu juga, Ketua Menteri turut memotong kek sebagai gimik sambutan, sebelum acara diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

Beliau turut menyempurnakan cabutan bertuah sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) Edisi Julai, di mana pemenang akan membawa pulang kereta X50, selain Cabutan Bertuah Pengunjung Ambang Merdeka yang menawarkan hadiah utama berupa sebuah motosikal.

Terdahulu, sambutan itu turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh serta barisan Timbalan Exco dan kenamaan lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

225
Kongsi :
Previous post LAUNGAN MERDEKA GEMAKAN DATARAN ORANG KAMPUNG
Next post REZEKI MERDEKA PELAJAR ‘POLI’ MENANG MOTOSIKAL
Ubah saiz-+=