PERBANYAKKAN PROGRAM BERSIFAT PATRIOTISME
AYER KEROH 27 Ogos – Kerajaan Negeri akan memperbanyakkan lagi penganjuran siri program bersifat patriotisme bertujuan menyuntik semangat cintakan negara dalam kalangan belia.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, program seumpama itu juga mampu memperkukuhkan lagi semangat jati diri belia di Melaka.
Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, Institut Tun Perak (ITP) akan memainkan peranan dalam melaksana lebih banyak program berunsur patriotisme dengan melibatkan belia dari semua daerah.
“ITP telah menjalankan pelbagai program berbentuk seminar, konvensyen, kem patriotik, penyelidikan dan penerbitan yang berfokus kepada nilai patriotisme serta sejarah.
“Malah, program-program seperti ini tidak tertumpu kepada Negeri Melaka sahaja tetapi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Saya menyambut baik usaha ini dan menyokong penuh ITP sebagai sebuah agensi peneraju dan penggerak program-program bersifat patriotisme,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Wacana Semarak Patriotisme Belia Madani 2024 diadakan di sebuah hotel di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST), Senator Datuk Mustafa Musa; Ketua Pegawai Eksekutif ITP, Prof. Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah dan Ketua Eksekutif Kolej Institut Jantung Negara (IJN) Sdn Bhd, Prof Emerita Dr. Durrishah Idrus.
Terdahulu, program bertemakan ‘Membina Jati Diri Belia Gen Z’ itu disertai kira-kira 300 pelajar mewakili pelbagai institusi pengajian tinggi.
Wacana diadakan itu melibatkan Mohd Noor Helmy sebagai Panel 1; diikuti Dr. Durrishah sebagai Panel 2 dan Mustafa sebagai Moderator.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.