Lelaki maut ditetak penyerang bertopeng
JASIN 27 Ogos – Seorang lelaki maut dipercayai ditetak sekumpulan lelaki bertopeng dalam kejadian di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Rim, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superitendan Ahmad Jamil Radzi berkata, akibat daripada kejadian itu, mangsa berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia pada jam 10.15 malam ketika dirawat di Hospital Jasin.
Katanya, selepas ditetak kumpulan lelaki bersenjatakan parang itu, mangsa sempat menghubungi adik lelakinya berusia 22 tahun bagi mendapatkan pertolongan.
“Selepas menurunkan abangnya di Jabatan Kecemasan, kenderaan dipandu adik mangsa telah ditahan oleh sebuah kenderaan lain dan sekumpulan lelaki bersenjatakan sebelah parang kemudian bertindak memecahkan cermin.
“Ketika hendak menyelamatkan diri, kenderaan dipandunya terlanggar sebuah ambulans sehingga remuk di bahagian bawah lampu sebelah pemandu.
“Adik mangsa kemudian terus memecut kenderaannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bagi melaporkan kejadian kepada polis. Susulan serangan itu dia tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Menurut Ahmad Jamil, susulan itu pihaknya berjaya memberkas tiga lelaki masing-masing berusia 21, 22 dan 31 tahun dipercayai terbabit dalam insiden itu dan kesemua mereka kini direman sehingga 1 September.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis kini giat mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai turut terbabit dalam serangan itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 016-5209501 atau menghubungi IPD jasin di talian 06-529 2222,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.