Atlet Melaka cipta banyak kejutan di SUKMA Sarawak

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

SERI NEGERI 26 Ogos – Pencapaian atlet Melaka yang bertanding pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI, Sarawak, bukan sahaja amat baik tetapi membanggakan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam berkata, meskipun tidak mencapai sasaran mengutip 20 pingat emas, namun pencapaian ditunjukkan oleh kesemua atlet mengambil bahagian diluar jangkaan selain banyak mencipta kejutan.

“Sebagai Chef de Mission, saya amat berpuas hati dengan pencapaian Melaka pada kali ini, malah saya berpendapat banyak kejutan baharu dibuat oleh atlet.

“Meskipun hanya memperoleh 18 pingat emas daripada 20 yang disasarkan, bagi saya tiada kekurangan kerana pingat perak boleh katakan kita antara yang banyak. Banyak acara kita kalah tipis untuk dapat pingat emas, bezanya antara 0.02 atau 0.05 sahaja.

“Banyak yang buat kejutan seperti pasukan bola sepak, walaupun belum bersedia tetapi berjaya menyumbang pingat perak begitu juga sepak takraw apabila berjaya membawa balik pingat emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang, Dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2024 sempena Sambutan Hari Jadi Ke-75 Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, semalam.

Menurut Shanmugam, kedudukan Melaka yang pada awalnya mendahului carta pungutan pingat kemudiannya jauh ketinggalan selepas perasmian SUKMA dianggap ‘biasa’.

“Kita sebenarnya bukan ‘drop’ kerana sudah menjadi kebiasaan kebelakangan ini pingat emas pertama di SUKMA akan diperoleh Melaka menerusi acara wushu, ini juga kerana wushu dipertandingkan lebih awal.

“Jadi selepas perasmian maka acara bermula termasuk olahraga dan sukan lain justeru itu berlaku anjakan pungutan pingat,” katanya.

Jelasnya lagi, jarak dan perjalanan jauh antara tempat tinggal dan venue juga dilihat antara faktor yang menjadi tekanan kepada atlet.

“Kita berdepan sedikit masalah apabila venue dan tempat tinggal untuk atlet agak jauh, mereka terpaksa bangun awal pagi untuk bersiap lalu bergerak ke lokasi contohnya apabila acara pada jam 10 pagi atlet perlu bertolak pada 5 pagi kerana perjalanan mengambil masa empat jam.

“Namun begitu saya boleh katakan pencapaian kita kali ini amat baik berbanding negeri lain yang berbelanja besar, atlet kita sudah berikan yang terbaik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1275
Kongsi :
Previous post Ketua Pengarah Kerja Raya, Pengurus Besar CMI antara penerima Darjah hari ini
Next post Berganding bahu majukan Melaka – Hee Sem
Ubah saiz-+=