Hoki wanita Melaka sedia hadapi aksi persahabatan
AYER KEROH 2 Dis. – Skuad hoki wanita Melaka meneruskan sesi latihan seperti biasa, meskipun berdepan situasi sukar tanpa sebarang kejohanan dalam masa terdekat.
Pengurus hoki wanita Melaka Adila Fazleen Che Manan berkata, persediaan itu dilakukan memandangkan pihak bercadang mengadakan perlawanan persahabatan sekiranya, situasi COVID-19 dalam negara terkawal sedikit masa lagi.
Katanya, latihan yang diadakan itu juga penting untuk mengekalkan momentum pasukan.
“Buat masa ini kita masih berlatih seperti biasa di bawah pemantauan jurulatih. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tempoh hari juga kami masih mengadakan latihan, namun secara maya sahaja.
“Kita yakin sekiranya situasi makin terkawal nanti, kita boleh mengadakan perlawanan empat penjuru dan menjemput negeri atau pasukan lain untuk mengadakan perlawanan persahabatan.
“Untuk kejohanan sebenar, kita bergantung kepada pengumuman semasa daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas mengenai pembatalan SUKMA yang sepatutnya diadakan tahun depan, Adila berkata, pihaknya akur dengan keputusan tersebut dan memandangnya dari sudut yang lebih positif.
Jelasnya, pemain sama sekali tidak kecewa, sebaliknya berjanji untuk lebih bersedia untuk menghadapi temasya itu yang akan diadakan pada 2022.
“Kami mempunyai masa yang panjang iaitu dua tahun lagi untuk membuat persediaan untuk edisi akan datang,” ujarnya.