Exco, Timbalan Exco antara penerima Darjah
SERI NEGERI 25 Ogos – Anggota perkhidmatan awam Negeri dan Persekutuan, ahli politik, tokoh korporat dan pengamal media antara penerima anugerah pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Sempena Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam Ke-75.
Pada Istiadat sesi pertama dan kedua, hari ini yang berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri, Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam turut bersetuju menganugerahkan Darjah, Bintang dan Pingat kepada ahli Pertubuhan bukan kerajaan, penggiat seni, ahli Badan sukarela serta Kelab sukan.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, tersenarai sebagai penerima utama yang dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) membawa gelaran Datuk Seri.
Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Zuriyah Abdul Aziz, juga Pengerusi Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Melaka (BISTARI), menjadi antara tujuh penerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) membawa gelaran Datuk Wira.
Antara penerima lain D.C.S.M adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Wira Roslan Abdul Rahman; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Wira (Ir.) Roslan Ismail; Naib Presiden MCA dan Pengerusi MCA Melaka, Datuk Wira Lim Ban Hong; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Wira Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali dan Penasihat Khas kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Zainal Abu.
Sementara itu tiga Exco Kerajaan Negeri Melaka menjadi antara empat individu dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) yang membawa gelaran Datuk.
Penerima D.M.S.M adalah Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem dan Duta Besar Malaysia ke Itali, Datuk Zahid Rastam.
Manakala Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur,Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil, Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan penggiat seni Datuk Mohammad Zalimei Ishak atau Remy Ishak pula dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk.
Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah dan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri, Mohd Saleh Jusman tersenarai sebagai penerima D.P.S.M bagi sesi ketiga penganugerahan yang berlangsung esok.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.