Tumpu empat pintu masuk, elak penularan M-pox

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

SERI NEGERI 25 Ogos – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi perhatian di empat pintu masuk utama negara dalam usaha membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengekang penularan cacar monyet atau M-pox ke negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain pintu masuk utama, turut dipantau dan diberi perhatian adalah ‘laluan tikus’ yang terdapat di sempadan negara khususnya di sekitar Sungai Golok.

“Empat pintu utama ini adalah KLIA, KLIA2, Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar. Tiga perempat daripada kemasukan pelancong adalah menerusi empat pintu masuk ini dan meninggalkan satu perempat sahaja pintu lain-lain, untuk itu empat pintu masuk ini adalah keutamaan.

“Laluan lain itu kita kenal pasti sebagai laluan tikus, bukan sahaja jumlah tetapi lokasinya juga kita tahu. Ia dibawah pengawasan termasuk Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi pertama Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Menurutnya, kerajaan tetap mengambil pendekatan berwaspada meskipun situasi penularan cacar monyet di dalam negara disifatkan amat terkawal.

“Tiada tanda-tanda ancaman (masa ini) dianggap sangat terkawal malah KDN sentiasa bekerjasama rapat dengan KKM,” katanya.

Media semalam melaporkan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan telah melakukan ujian M-pox kepada 1.8 juta pengembara di semua pintu masuk sempadan negara sejak 16 Ogos hingga 22 Ogos lalu.

Ujian saringan itu katanya, dibuat termasuk di lapangan terbang di seluruh negara sejak Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan cepat Krisis Kebangsaan Pusat (CPRC) diaktifkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

94
Kongsi :
Previous post Remy Ishak kini bergelar Datuk
Next post Ban Hong makin komited majukan Melaka
Ubah saiz-+=