Cadangan Melaka wujud Koridor Ekonomi Anjung Selatan diharap disenaraikan bawah RMK13
Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata ini kerana, Melaka tidak berada di dalam mana-mana koridor ekonomi di Malaysia seperti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
“Oleh itu, langkah untuk mewujudkan koridor ekonomi diharap dapat memberi keseimbangan terhadap projek-projek berimpak tinggi, yang mampu meningkatkan pembangunan ekonomi bagi kawasan terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka sempena Sambutan Hari Jadi beliau ke-75 di Seri Negeri, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tun Dr. Mohd Ali mengucapkan tahniah kepada kepimpinan kerajaan negeri yang berjaya menjadikan Melaka negeri kedua menoktahkan kemiskinan tegar.
Beliau berkata beliau berharap semua inisiatif dan program dilaksanakan bagi membantu serta mengurangkan beban rakyat, akan diteruskan serta ditambah baik.
“Semua agensi yang terlibat dalam memberikan perkhidmatan sosial diharap dapat memberikan perkhidmatan berkualiti dan telus untuk menjamin kesejahteraan kumpulan sasar.
Sementara itu Tun Dr. Mohd Ali berkata baru-baru ini, Melaka dikejutkan dengan kejadian banjir yang berlaku di kawasan Masjid Tanah dan Alor Gajah, antara yang terburuk pernah direkodkan di negeri itu.
Beliau berkata justeru bagi mengelakkan bencana banjir ini berulang pada masa akan datang, kerajaan negeri dan Persekutuan diharapkan dapat melaksanakan semua projek rancangan tebatan banjir di kawasan Alor Gajah khasnya dan seluruh Melaka amnya, mengikut jadual yang ditetapkan.
“Saya mengucapkan syabas dan terima kasih atas tindakan pantas kerajaan negeri, dalam membantu mangsa terjejas terutamanya urusan perpindahan, penyaluran sumbangan dan bantuan makanan serta terkini, urusan pembersihan pascabanjir.
“Ucapan penghargaan juga diberikan kepada semua petugas, sukarelawan dan semua pihak yang bertungkus-lumus membantu dan menyantuni mangsa terlibat. Jasa baik anda semua amatlah dihargai,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.