KSN dahului penerima Darjah Kebesaran Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

SERI NEGERI 25 Ogos – Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar mendahului senarai 299 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Shamsul Azri, dikurniakan Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri pada sesi pertama istiadat yang berlangsung di Dewan Istiadat di Seri Negeri, pagi ini.

Ia diikuti Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-22, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab. Rahman  yang dianugerahkan darjah yang sama.

Istiadat yang diadakan sebanyak tiga sesi bermula hari ini (Ahad) dan Isnin (26 Ogos) menyaksikan seramai 10 individu dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Antara penerimanya ialah isteri Ketua Menteri Melaka, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Wira Roslan Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Bang Hong.

Selain itu, seramai lima penerima yang antaranya, Duta Besar Malaysia Ke Itali, Datuk Zahid Rastam; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Gapar Abu Bakar, dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) membawa gelaran Datuk

Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk pula dianugerahkan kepada 71 penerima.

Antaranya ialah Setiausaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh; Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datin Seri Norhayati Musa dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), Puan Sri, Datuk Zainah Othman.

Melaka turut menganugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM) kepada 22 individu yang telah memberi perkhidmatan dan bakti terpuji kepada Negeri Melaka.

Manakala, seramai 30 penerima dianugerahkan Bintang Cemerlang Melaka (BCM), 38 menerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 71 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 48 menerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan dua penerima Pingat Khidmat Lama (PKL).

Sementara itu Wartawan Melaka Hari Ini, Mohd Faiz Abu Hasan antara penerima PJK.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7050
Kongsi :
Previous post Tun Dr. Mohd Ali zahirkan rasa dukacita bencana banjir
Next post Rakyat Melaka perlu bersatu demi Malaysia
Ubah saiz-+=