Sorting by

×

Sisi-sisi penyayang Tun Dr. Mohd Ali

Masa Membaca:3 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 24 Ogos – Di sebalik ketegasannya sebagai pemimpin, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-7, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam merupakan seorang bapa dan ketua keluarga yang penyayang.

Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali yang merupakan anak sulung kepada Tun Dr. Mohd Ali berkata, walaupun sibuk dengan tugas hakikinya dari dahulu hingga kini, namun mereka tiga beradik sentiasa mendapat kasih sayang secukupnya dalam pelbagai cara.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM) memaklumkan, bapanya merupakan seorang pendengar yang baik dan sangat rapat dengan keluarga.

“Saya memanggil Tun Dr. Mohd Ali ayah apabila kami sekeluarga berkumpul. Ayah seorang yang tenang, pendengar yang baik, beri kebebasan untuk kami membuat keputusan sendiri namun pada masa sama beliau juga membimbing kami sekiranya kami tersilap atau tersalah langkah.

“Saya tidak nafikan ayah seorang yang memang tegas, jika di luar beliau dilihat sebagai pemimpin tegas, di rumah juga begitu namun versi yang lebih tenang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

TRAUMA ‘DEMAM’

Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata, ayahnya juga seorang yang sangat mementingkan kesihatan dan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.

Malah, walaupun sudah menginjak ke usia 75 tahun, Tun Dr. Mohd Ali masih suka bersenam.

“Ayah sangat menjaga kesihatan, boleh dikatakan beliau seorang yang sukar untuk jatuh sakit.

“Jika ada dalam kalangan ahli keluarga yang demam, beliau sangat bimbang dan akan meminta kami mandi, minum air masak yang banyak, makan ubat dan pelbagai lagi.

“Selepas itu, ayah pasti akan hubungi selang setengah jam hanya untuk memastikan mereka yang demam itu sudah kebah sakitnya. Ayah memang ‘overprotective’,” jelasnya.

Menurut Mohd Ridhwan, ada cerita di sebalik sikap terlalu mengambil berat itu, di mana, segalanya disebabkan kematian kakak bapanya akibat demam suatu masa dahulu.

“Selepas kejadian kehilangan arwah kakaknya, ayah memang sangat takut apabila ada dari kami yang demam, pasti beliau tidak senang duduk. Jadi kami kena jaga kesihatan seperti beliau yang sangat suka bersenam.

“Bahkan kalau kami bercuti ke luar negara sekalipun, ayah pasti akan keluar pagi-pagi untuk berjalan atau berjoging dan kalau tidak dapat bersenam ayah akan makan sedikit sahaja,” katanya.

Img 20240824 Wa0016
TUN Dr. Mohd Ali bersama keluarganya pada Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Sempena Pelantikan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Penggal Kedua di Balai Istiadat Seri Negeri, 4 Jun lalu. Foto Istana Melaka

HARGAI MASA

Menurutnya lagi, sejak bergelar pemimpin, Tun Dr. Mohd Ali banyak menitipkan nasihat kepada anak-anaknya agar menepati masa.

Ujarnya, ini kerana, ayahnya tidak suka anak-anak melengahkan masa dalam membuat sesuatu perkara.

“Ayah selalu kata ‘Along’ bila ada peluang, buat, jangan tangguh dan sentiasa menghargai masa yang diberikan.

“Satu teori yang ayah suka dan kerap ucap adalah MBM (Management By Meeting), jika terfikir terus buat, jangan lengah-lengah. Ayah juga lebih suka untuk bersemuka daripada cakap dalam telefon.

“Itu yang jadi, tiba-tiba tengah malam atau awal pagi, beliau hubungi kakitangannya dan sebagainya, untuk mereka yang pernah bekerja dengan ayah, mereka tahu perangainya,” katanya.

Tambah Mohd Ridhwan, cara didikan dan ketegasan ayahnya menjadikan dirinya pada hari ini.

Ujarnya, sikap ayahnya yang tidak pernah lokek memberi nasihat dan berpandangan jauh itulah yang menjadi pembimbing dalam hidupnya.

“Ayah ini sebenarnya seorang yang sangat tenang, beliau marah pun tenang, tidak akan terjerit-jerit namun bahasa yang digunakan menusuk ke kalbu,” katanya lagi.

IKAN PARANG PINDANG

Mohd Ridhwan turut berkongsi, Tun Dr. Mohd Ali sangat menggemari lauk ikan parang masak pindang dan minuman kegemarannya adalah air avocado atau kelapa muda suam.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, ayah suka bercucuk tanam. Tangan ayah ini seperti ada sentuhan magis, apa sahaja yang disentuh pasti jadi.

“Ayah tanam kelapa, durian dan pelbagai pokok bunga semuanya menjadi. Beliau sukakan kehijauan alam semula jadi,” katanya.

Selain itu, Mohd Ridhwan juga berkongsi rutin yang sering dilakukan mereka sekeluarga apabila setiap kali tiba Ramadan.

“Setiap kali muncul bulan Ramadan, kami sekeluarga ada rutin setiap kali selepas sahur untuk duduk bersama-sama mengaji dan membaca tafsir al-Quran selepas sahur.

“Dahulu kami membesar dengan kaedah begini, duduk kumpul semua adik-beradik dan mengaji di depan ayah. Perkara ini wajib kami lakukan setiap kali berkumpul apabila bulan puasa sehingga ke hari ini,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2093
Kongsi :
Previous post 80 peniaga terjejas ribut, MBMB ambil tindakan pantas bantu pembersihan
Next post Terima kasih beri hadiah untuk rakyat Melaka
Ubah saiz-+=