Merdekakan jiwa daripada cengkaman ‘kemalasan’

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

SERI NEGERI 25 Ogos – Sesuai dengan semangat Bulan Kebangsaan, kakitangan perkhidmatan awam di Negeri Melaka diminta untuk ‘memerdekakan’ minda dan jiwa mereka daripada cengkaman kemalasan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad berkata, semua penjawat awam juga perlu berani melakukan perubahan, mendepani cabaran dan tidak berasa selamat kerana berada dalam zon selesa.

“Bagi saya ini adalah makna sebuah kemerdekaan. Makna kemerdekaan ini sangat luas untuk ditafsirkan, setiap orang mempunyai pengertian yang tersendiri apabila disebut merdeka.

“Jika dahulu penjajahan lebih bersifat perjuangan fizikal hingga bermandi darah, tapi hari ini tanpa kita sedari secara diam generasi sekarang mula dijajah minda mereka hingga ada kalanya terlupa tatasusila dan sopan santun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wawancara Khas Bersama Melaka Hari Ini di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Azhar berkata merdeka bukan sekadar bebas daripada cengkaman kuasa dan minda penjajah, tetapi juga bermaksud menghayati semangat jiwa merdeka.

“Kita perlu menyayangi negara sepenuh hati dan sanggup berkorban untuk negara ini dengan apa cara sekalipun.

“Dalam konteks kepantasan teknologi pada hari ini pula, tidaklah bermakna kita harus mengikut sepenuhnya perkembangan arus perdana, tanpa menilai kebaikan dan keburukan yang bakal dialami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

117
Kongsi :
Previous post Terima kasih beri hadiah untuk rakyat Melaka
Next post 17 das tembakan pembuka Istiadat Penganugerahan
Ubah saiz-+=