MPHTJ pasang 5,000 Jalur Gemilang meriahkan sambutan Bulan Kebangsaan
MELAKA 23 Ogos – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) memasang 5,000 Jalur Gemilang di bawah kawasan pentadbirannya bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.
Yang Dipertua MPHTJ Sapiah Haron berkata bendera Malaysia mula dipasang sejak minggu terakhir Julai selepas Kempen Kibar Jalur Gemilang dilancarkan kerajaan Persekutuan.
“Bendera-bendera tersebut dipasang di kawasan terutamanya membabitkan laluan protokol seperti Jalan Istana dan Lebuh Ayer Keroh serta jalan-jalan negeri.
“MPHTJ turut menghantar notis memasang Jalur Gemilang kepada 70,000 pemilik premis di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) ini agar mereka turut sama berbuat demikian,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini.
Sapiah berkata MPHTJ juga mengadakan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada 13 Ogos lepas membabitkan kakitangan PBT itu selain Pertandingan Baju Patriotik pada 27 Ogos ini.
“Kita juga akan mengagihkan Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya di depan pejabat MPHTJ ini pada minggu depan bagi menyemarakkan lagi rasa cintakan negara dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata setakat ini tiada notis dikeluarkan kepada mana-mana pemilik premis yang memasang Jalur Gemilang dengan cara yang salah.
Dalam masa sama katanya pemantauan dilaksanakan bagi memastikan pemilik premis mematuhi garis panduan memasang bendera simbol kedaulatan negara itu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.